HONDA WR-V DIKEMASKINI – ESTETIK DWI-TONA RS BAHARU, KINI DARI RM94,900
Susulan pengumuman pembukaan tempahan untuk model 2026 Honda City facelift terbaharu, Honda Malaysia juga telah umum ketibaan Honda WR-V versi kemaskini terbaharu.
Pertama sekali, barisan model ini kini tersedia hanya dalam tiga pilihan varian iaitu– E, V dan RS. Varian S yang diposisikan dibawah varian E sebelum telah digugurkan.
Menarik sekali, harga asas juga telah dikurangkan sebanyak RM1,000 untuk varian E dan V yang kini ditawarkan pada RM94,900 dan RM98,900, manakala varian RS pula dikurangkan sebanyak RM3,000 ke RM104,900.
Semua harga termasuk jaminan waranti 5-tahun tanpa had batuan, serta pakej penyelenggaraan percuma sebanyak 5 kali dalam tempoh 5-tahun atau 100,000KM.
Perubahan paling ketara disini adalah penampilan skema warna dwi-tona (merah-hitam) baharu bagi varian RS yang juga lengkap dengan rekaan gril hadapan hitam. Semua varian juga kini dilengkapi rim 17-inci baharu dalam hiasan warna hitam.
Perubahan lebih ketara turut diberikan pada bahagian kabin, terutama bagi varian RS yang kini menerima pencahayaan ambient merah, wireless charger dan kamera pandangan 360 darjah.
Di dalam kabin pula tampil kemasan tempat duduk kulit yang dipertingkatkan dengan jahitan merah dan kemasan warna Dark Steel untuk papan pemuka. Khas bagi barian V dan RS ialah skrin sentuh infotainmen 10-inci baharu lengkap dengan sambungan wireless Apple CarPlay dan Android Auto.
Dari segi mekanikal, pakej tren kuasa yang merangkumi enjin 1.5-liter 4-silinder petrol dan padanan transmisi automatik CVT yang memacu roda hadapan dengan 121PS dan 145NM dikekalkan.
Turut kekal sebagai kelengkapan standard bagi semua varian adalah pakej bantuan pemanduan (ADAS) Honda Sensing, manakala fungsi sambungan telematik Honda Connect kekal eksklusif bagi varian RS.














