Malaysia Bike Show 2026 (MBS 2026) masih berlangsung hingga ke hari ini (Isnin) dan lagi satu tarikan menarik bagi kami adalah pameran oleh Hodaka Motoworld Sdn Bhd. Syarikat ini sudah terkenal sebagai pengedar rasmi jenama pakaian keselamatan penunggang RS Taichi serta Komine dari Jepun.
Selain barisan produk pakaian keselamatan baharu, Hodaka Motoworld juga mengambil kesempatan untuk mempamerkan satu aksesori canggih baharu hasil jenama Komine di MBS 2026 iatu sebuah kipas penyejuk badan. Alat ini yang direka untuk mengekang strok haba melalui penyejukan lebih cekap yang menyasarkan arteri karotid.
Aksesori ini juga ditawarkan pada harga mampu milik – hanya RM199.Selain itu, syarikat tersebut juga melancarkan jenama aksesori skrin tambahan motosikal JADO dari China. Seperti pesaing utamanya (Chigee dan Alien Rider), JADO menawarkan barisan skrin sentuh tambahan motosikal yang dilengkapi Apple CarPlay, Android Auto, dashcam hadapan dan belakang, serta sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), Harganya pula berada diantara RM850 dan RM2,150, bergantung pada pakej.Syarikat tersebut juga sempat mempamerkan barisan helmet ‘premium’ mampu-milik baharu jenama YOHE yang berasal dari China di MBS 2026.
Jenama ini telah rasmi dilancarkan untuk pasaran Malaysia oleh Hodaka Motoworld beberapa bulan lepas dengan harga jualan di antara RM319 hingga RM1,199, bergantung pada jenis model yang semuanya menepati piawaian keselamatan global ECE R22.06 terkini.





