HELMET EDISI KHAS & JENAMA BAHARU TAMPIL DI MOTOGP MALAYSIA 2026
Seperti biasa, acara perlumbaan MotoGP Malaysia 2026 (Petronas Grand Prix of Malaysia 2026) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sekali lagi menjadi pentas cetus untuk pelancaran beberapa produk aksesori keselataman dua-roda, terutamanya produk helmet.
Semalam, jenama popular seperti KYT dan ARC Helmet melancarkan produk edisi khas baharu, manakala jenama baharu Astone Helmets membuat tampilan pertamanya dalam pasaran tempatan.
KYT TTR JET & TT-REVO EDISI KHAS SIC RACING
Kemeriahan bermula dengan jenama helmet popular KYT edaran syarikat tempatan MKA Group yang rasmi lancarkan dua buah tawaran helmet edisi khas yang dihasilkan melalui kerjasama rasmi bersama SIC iaitu KYT TTR Jet SIC Racing dan KYT TT-REVO SIC Racing.
Masing-masing berasaskan model helmet KYT terkini iaitu TTR Jet (jenis open face) dan TT-REVO (jenis full-face). Ciri yang menyerlah bagi edisi khas ini adalah rekaan dan corak grafik rasmi tema SIC Racing – kisanambungan kolaborasi KYT-SIC yang bermula sejak 2023.
Rekaan grafik khas tersebut termasuk lakaran litar SIC, serta hiasan garisan lumba (racing stripes) yang selain penjenamaan rasmi SIC dan KYT.Seperti versi asas masing-masing, dua-dua kekal dengan pelbagai ciri-ciri menarik untuk penunggang, serta status piawaian keselamatan ECE 22.06.
Dan seperti edisi tahun sebelum ini, dua-dua helmet ini melihat pengeluaran terhad – hanya 3,000 unit bagi model TTR Jet dan 800 unit bagi model TT-REVO. Masing-masing ditawarkan pada harga RM559 dan RM719, dan dua-dua juga tersedia dalam saiz S hingga 2XL.
ARC XRS SEPANG 26 LIMITED EDITION & RITZ CARBON
Seterusnya, jenama pengeluar helmet tempatan popular ARC Helmet juga ambil kesempatan dengan melancarkan lagi satu tawaran edisi terhad khas berasaskan model XRS terbaharunya yang dilancarkan dalam edisi Star Wars semasa Malaysia Bike Show 2026.
Dikenali sebagai ARC XRS Sepang 26 Limited Edition, penjualan XRS versi baharu ini terhad secara ekslusif melalui reruai ARC x FTG di SIC menjelang acara MotoGP Malaysia 2026. Versi ini dihiasi grafik dan corak warna khas yang mengambil inspirasi dari litar SIC.
Tawaran helmet jenis open face premium pertama pengeluar dari Butterworth, Pulau Pinang ini juga menepati piawaian keselamatan ECE 22.06. Bagi versi terhad sempena MotoGP Malaysia 2026 ini, ia ditawarkan pada RM330.
Selain itu, ARC Helmet juga ambil kesempatan dengan pratonton khas ARC Ritz Carbon. Ini merupakan versi model paling laris jenama itu dengan binaan kerangka gentian karbon (carbon fibre). Model ini bakal dilancar awal tahun depan (2027), kata ARC Helmet.
ASTONE HELMETS TAMPIL BUAT PERTAMA KALI
Selain itu, Astone Helmets, sebuah jenama pengeluar helmet baharu dari Perancis, juga membuat tampilan pertamanya untuk pasaran tempatan di MotoGP Malaysia 2026. Jenama tersebut kini tersedia di Malaysia melalui pengedar rasmi Winmaster Sdn Bhd.
Jenama terbaharu ini tampil dengan pelbagai jenis helmet premium untuk pelbagai gaya tunggangan. Ini termasuk jenis open face gaya jet (DJ15) dan retro (SK6), jenis full-face gaya sport (GT-6), jenis modular gaya touring (RT-6 dan RV-6), serta jenis modular gaya adventure (XF-6).
Semua tawaran Astone Helmets menepati piawaian keselamatan ECE 22.06. Bergantung pada jenis model, harga produk jenama ini bermula dari serendah RM280. Butiran lanjut rangkaian pejual rasminya akan diumum jenama itu melalui laman Facebook & Instagram rasminya.











