GRAB MALAYSIA LANCAR KHIDMAT E-HAILING KHAS BAGI KANAK-KANAK
Baru-baru ini, gergasi perkhidmatan e-hailing Grab (Grab Malaysia) telah rasmi lancarkan satu perkhidmatan baharu khas untuk kanak-kanak. Dikenali sebagai ‘Kid-Friendly Rides (Beta’, ciri tersebut direka khas oleh platform itu khusus untuk keluarga yang mempunyai kanak-kanak berusia 4 hingga 12 tahun.
Menarik di sini ialah pilihan perjalanan mengguna pilihan Standard 6-Seater yanng dilengkapi ciri ‘booster seat’ – alat tambahan ‘child restraint system – CRS’ – keselamatan pada tempat duduk khas bagi kanak-kanak. Perkhidmatan ini bakal dikendalikan rakan pemandu yang sudah dilatih Grab untuk menguruskan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak tersebut.
Untuk tahap permulaan (Beta) pilihan perkhidmatan ini, sebahagian daripada kenderaan flit Grab kini dilengkapi ciri booster seat tersebut yang dibekalkan jenama Koopers. Menurut Grab, ciri itu diperkenalkan sebagai sebahagian daripada usahanya meningkatkan aspek keselamatan keluarga dan kanak-kanak di jalan raya.
Buat masa kini, pilihan Kid-Friendly Rides (Beta) hanya tersedia melalui Advance Booking untuk perjalanan ke atau dari KLIA 1 dan KLIA 2. Grab juga mengesahkan perkhidmatan ini bakal diperluaskan secara berperingkat ke kawasan Lembah Klang, serta di Pulau Pinang dan Johor Bahru.
Pengguna yang ingin cuba menempah perkhidmatan ini perlu membuka aplikasi Grab, pilih Car, kemudian Advance Booking untuk menetapkan lokasi serta masa perjalanan. Di sini, pilihan Kid-Friendly Rides boleh dipilih di bawah pilihan jenis kenderaan Standard 6-Seater atau Grab EV Exec.
Bagi setiap tempahan Standard 6-Seater, satu booster seat dikenakan caj tambahan RM10. Pada masa yang sama, ciri Koopers Boost Fix ditawarkan sebagai ciri nilai tambah percuma untuk perjalanan Grab EV Exec.




