FERRARI AMALFI SPIDER BUAT TAMPILAN SULUNG ASEAN DI KL
Ferrari Amalfi Spider, salah satu tawaran prestasi tinggi dan mewah terbaru dari jenama terkemuka Itali ini, telah membuat tampilan sulungnya untuk rantau ASEAN di Kuala Lumpur, awal minggu ini.
Acara tersebut dianjurkan oleh Ital Auto Malaysia, pengimport rasmi jenama Ferrari tempatan, di bilik pameran utamanya yang terletak di pangkalan bangunan Four Seasons Hotel bersebelahan Suria KLCC, Jalan Ampang.
Tidak seperti kembar coupe dua-pintunya, versi ‘Spider’ ini tampil dengan format binaan bumbung lembut fabrik yang boleh dibuka-tutup yang dikenali sebagai ‘cabriolet’. Menurut Ferrari, ciri khas ini mampu dibuka atau tutup dalam masa 13.5 saat, dan ia juga boleh beroperasi ketika bergerak sehingga kelajuan 60km/j.
Khas untuk versi ‘Spider’ ini juga adalah sebuah deflektor angin khusus yang telah dibina terus pada penyandar tempat duduk belakang. Pemandu boleh menaikkan atau melipat deflektor dengan satu sentuhan butang pada kelajuan sehingga 170km/j untuk melancarkan aliran udara di dalam kabin.
Beralih ke tren kuasa, model Amalfi versi ‘Spider’ ini kekal dengan enjin 3.9-liter V8 twin-turbo petrol dari kembar versi coupe yang menghasil 640PS dan 760Nm. Dipadankan dengan transmisi dwi-klac 8-kelajuan automatik untuk memacu roda belakangnya, pecutan 0-100km/j dicapai dalam 3.3 saat, serta kelajuan maksimum 320km/j.
Ciri-ciri mekanikal prestasi tinggi lain yang dilengkapi versi ‘Spider’ ini juga mirip dengan versi coupe. Sorotan utama bahagian ini termasuk sistem brek-demi-wayar (brake-by-wire) ABS Evo yang dikongsi dengan model 296 GTB, sistem stereng elektrik yang diubah suai, serta sistem aerodinamik aktif canggih.
Persamaan ini turut merangkumi bahagian kabin dengan skrin sentuh infotainmen berorientasikan landskap 10.25 inci dan konsol tengah yang lebih bergaya tradisional. Diperbuat daripada satu blok aluminium, ini menempatkan pemilih gear "berpagar" dan pengecas tanpa wayar Qi.
Sama seperti versi coupe, stereng pelbagai fungsi yang dilengkapi kini kembali mengguna butang fizikal dan bukan kawalan haptik, lengkap dengan butang untuk menghidupkan enjin. Turut hadir ialah paparan meter digital 15.6 inci dan skrin penumpang nipis tambahan 8.8 inci, berserta sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.
Tidak seperti model 849 Testarossa yang dilancarkan pada bulan Jun lalu, tiada harga rasmi untuk Malaysia disebut buat tawaran Amalfi Spider baharu ini semasa acara peluncuran khas ini.
Menurut sumber dalaman, Tekan Habis difahamkan harga jualan pengganti model Roma Spider ini akan mula di sekitar RM3 juta lebih dengan duti import dan cukai, tetapi tidak termasuk kos pilihan penyesuaian tambahan, pendaftaran dan insurans.

























