Kembali ke laman Tekan Habis
INDUSTRI

EVC LANCAR JENAMA JOMCHARGEX – RANGKAIAN STESEN PENGECASAN DC 200KW DAN KE ATAS

11 Aug 2026
EVC LANCAR JENAMA JOMCHARGEX – RANGKAIAN STESEN PENGECASAN DC 200KW DAN KE ATAS
1 / 13

Syarikat pengendali titik pengecasan (charge point operator – CPO) kenderaan elektrik (EV) tempatan EV Connection Sdn Bhd (EVC), telah lancarkan jenama baharunya yang dikenali sebagai ‘JomChargeX’.

Tidak seperti jenama sedia adanya, iaitu ‘JomCharge’, apa yang membezakan penjenamaan ‘JomChargeX’ dibangunkan khas untuk rangkaian stesen pengecasan DC ultra-pantasnya – stesen-stesen berkelajuan 200kW dan ke atas.

Stesen JomChargeX juga dibezakan dengan skema warna dan grafik yang berbeza –gabungan warna hitam dan oren. Syarikat tersebut tambah stesen JomChargeX juga diberi visual berasingan dalam applikasi mudah alih JomCharge.

Menurut EVC, ia akan melancar stesen-stesen baharu JomChargeX di lokasi perhentian R&R lebuh raya serta pusat pandu-lalu makanan segera utama yang sudahpun di dalam rangkaiannya.

Buat masa kini, JomChargeX mempunyai dua stesen yang sudah mula beroperasi dengan penjenamaan baharu ini. Lokasi pertama ialah Litar Antarabangsa Sepang (SIC) – dalam perkarangan SIC Motorsport Park. Stesen ini mempunyai enam nozzle yang mengedarkan kadar pengecasan setinggi 360kW.

Lokasi seterusnya ialah stesen Xpark Sunway Serene yang dikendalikan JomCharge (EVC) bersama Gentari. Syarikat tersebut mendakwa stesen ini menempatkan pengecas DC terpantas di Malaysia – 480kW – melalui dua nozzle. Stesen ini juga diberi penjenamaan Zeekr Power.

Kedua-dua stesen ini sedang menjalani ujian dan masih belum dibuka kepada orang ramai. Cawangan selanjutnya sedang dirancang untuk dibuka di tempat-tempat seperti Ipoh, Tapah, Pulau Pinang, Yong Peng dan Johor Bahru.

Menarik sekali, JomChargeX mempunyai ruang untuk menyokong kuasa pengecasan besar sehingga 1,200kW, dan sistem ini mampu menambah kuasa model EV serasi dengan seni bina 1,000-volt daripada 20 ke 70% dalam masa hanya lima minit, dakwa syarikat tersebut.

Dengan ini, EVC sudah pasti menjadi pesaing utama kepada BYD dan sistem pengecasan Megawatt Flash Charging jenama tersebut. Untuk perbandingan, sistem BYD ini didakwa mampu mengecaskan model sepert Denza Z9GT dengan kadar 1,500kW untuk memboleh pengecasan 10 ke 97% hanya dalam 9 minit.

Facebook WhatsApp X
Kembali ke laman Tekan Habis