BYD BAKAL UMUM PELAN PENGEMBANGAN EV DALAM SEMINGGU?
Sejak lebih setahun BYD mengumumkan hasrat pemasangan tempatan bagi barisan EV mereka, syarikat itu mungkin mengumumkan pelan pembangunan selanjutnya dalam tempoh seminggu, menurut laporan dari Bernama semalam.
Naib Presiden BYD, Liu Xueliang berkata, “Kami akan terus meneroka bersama rakan kongsi tempatan dalam bagaimana kami boleh menyokong pembangunan industri kenderaan tenaga baharu Malaysia dengan lebih baik. Sudah tentu, pengembangan kami di Malaysia juga telah meluas dengan positif. Tidak lama lagi, kami akan mengumumkan pendekatan kami ke arah pembangunan mampan,” katanya kepada media Malaysia di Shenzhen, China semalam.
“Tunggu seminggu lagi dan kami akan umum", katanya apabila ditanya mengenai pendekatan BYD kepada perkara itu.
Syarikat gergasi itu mengumumkan pada Ogos 2025 bakal memulakan operasi pemasangan tempatan di Tanjung Malim pada suku ketiga 2026, tetapi rancangan itu masih menjadi tanda tanya selepas kenyataan daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengenai syarat yang dikenakan bagi BYD memulakan operasi pengilangan di Malaysia termasuk eksport sebanyak 80% daripada pengeluaran.
Media juga pernah melaporkan bahawa BYD sedang menilai pemasangan kontrak yang berpotensi dengan kilang Inokom milik Sime Motors di Kulim, Kedah.
Mulai 1 Julai tahun ini, semua EV yang diimport (CBU) disyaratkan mempunyai nilai kos, insurans dan pengangkutan (CIF) minimum yang diisytiharkan sekurang-kurangnya RM200,000, dan mempunyai kuasa minimum 180 kilowatt.
Walau bagaimanapun, kenderaan EV yang telah memasuki negara atau masih di dalam perjalanan sebelum 1 Julai masih lagi boleh dijual di bawah rangka harga sebelum ini sehingga stok dihabiskan. Sebagai contoh, BYD Sealion 7 versi 2026 yang dilancarkan pada 30 Julai 2026 masih dapat ditawarkan pada harga bermula RM163,800.
Walaupun berhadapan dasar baharu kerajaan ini, Liu pernah berkata sebelum ini syarikat itu tetap komited kepada pasaran Malaysia dan masih bekerjasama dengan pihak berkuasa serta rakan pengedar dalam mencari penyelesaian pembangunan NEV yang sesuai bagi pasaran ini.
