BSH PERKENAL HONDA NX500, CB650 HORNET & XL750 TRANSALP VERSI E-CLUTCH
Barisan model motosikal kapasiti besar dari Boon Siew Honda (BSH) telah dikemaskini dengan ketibaan versi E-Clutch bagi model Honda NX500, CB650 Hornet dan XL750 Transalp.
Dengan itu, barisan model yang dilengkapi teknologi Honda E-Clutch yang ditawarkan BSH kini naik ke 5 model – sebelum ini, hanya model Honda CBR650R dan CB650R ditawarkan dengan sistem klac tersebut.
Pada mereka yang tidak kenali Honda E-Clutch, sistem ini direka untuk mengurangkan beban penggunaan klac ketika mula bergerak, berhenti dan menukar gear.
Sistem ini mengawal operasi klac secara automatik, tetapi penunggang masih menukar gear mengguna pedal seperti motosikal manual biasa. Tuil klac masih berfungsi dan boleh digunakan pada bila-bila masa, dan ia boleh dimatikan sepenuhnya melalui paparan skrin TFT yang dilengkapi.
Menarik sekali, Honda mendakwa E-Clutch juga mampu menghasilkan pertukaran gear lebih pantas dan lancar berbanding quick-shifter konvensional kerana sistem tersebut mampu mengawal keadaan “separuh klac” untuk mengurangkan kejutan ketika pertukaran gear.
Sistem ini dilengkapi model kembara saiz pertengahan (middleweight adventure) NX500 yang bernadi 471cc dua-silinder selari menghasil 47HP dan 45Nm. Selain itu, kelengkapan utama model ini masih lagi kekal seperti versi sebelum ini, dan ia ditawarkan pada harga asas RM34,099 (tanpa insurans dan kos pendaftaran).
Selain itu, sistem E-Clutch ini juga dilengkapi dalam model naked a la streetfighter CB750 Hornet, dan kembar bergaya kembara lasaknya iaitu XL750 Transalp. Dua-dua model ini kekal dengan perkongsian nadi 755cc dua-silinder selari yang menghasil 67HP dan 75Nm.
Dari segi harga, tawaran streetfighter CB750 Hornet versi E-Clutch kini tersedia pada RM44,999 (tanpa insurans dan kos pendaftaran). Harga bagi XL750 Transalp versi E-Clutch pula, harganya akan diumumkan BSH kemudian.



















