Penonton dan pengikut setia Tekan Habis Podcast pasti sudah mengetahui tentang inisiatif kitar dan guna semula bateri kenderaan elektrik (EV) terpakai hayat kedua yang diterajui BMW Group Malaysia bersama Universiti Malaya (UM).
Baru-baru ini, program tersebut berkembang lagi melalui pemasangan sebuah stesen pengecasan telefon pintar berkuasa solar yang juga menggunakan bateri EV terpakai hayat kedua dari BMW.
Dihasilkan melalui inisiatif penyelidikan RE:GENERATE x Universiti Malaya, stesen ini kini beroperasi di kampus UM di Kuala Lumpur, khususnya di hentian bas UM Central. Alat ini merupakan aplikasi dunia sebenar pertama yang telah disiapkan di bawah inisiatif tersebut.
Direka bentuk oleh Profesor Madya Dr. Tan Chia Kwang bersama pasukan penyelidik dan pelajar PhD beliau di UM Power Energy Dedicated Advanced Centre (UMPEDAC), stesen ini menyediakan kemudahan kepada hentian bas yang digunakan lebih 3,000 pengguna setiap hari. Sistem ini juga direka untuk kekal beroperasi sekurang-kurangnya lima tahun.
Pembangunan stesen ini membawa lebih dua tahun penyelidikan makmal kepada penggunaan langsung dalam kehidupan seharian komuniti kampus UM. Ia juga salah satu daripada dua aplikasi serentak yang terhasil daripada inisiatif tersebut.
Menurut BMW Group Malaysia, stesen pengecasan ini mengguna pek bateri berkapasiti lebih rendah di mana ia lebih sesuai untuk keperluan pengecasan peranti yang ringan. Stesen ini dikuasakan oleh sistem 1.5kWj yang dipasang daripada tiga modul bateri BMW, setiap satunya berusia kira-kira 10 tahun.
Melalui ujian, penggredan dan pengubahsuaian yang teliti oleh Dr. Tan dan pasukannya, sistem ini memulihkan 30–40% daripada kapasiti asal bateri tersebut. Ini merupakan bateri EV BMW berkapasiti lebih rendah daripada proses pengasingan pasukan tersebut.
Dijangka digunakan oleh lebih 3,000 pengguna setiap hari, sekumpulan pelajar terlatih ditugaskan memantau dan menyelenggara sistem ini, serta merekod parameter bateri dan penggunaan, dengan lokasi yang mudah diakses untuk pemeriksaan berkala.
Bagi pek bateri EV BMW hayat kedua berkapasiti lebih tinggi daripada program yang sama, khususnya pek yang mengekalkan sehingga 80% daripada kapasiti asalnya, ini telah dikhaskan untuk projek elektrifikasi luar bandar di Pos Sinderut, Pahang.
Anda boleh tonton dan dengar semula perbincangan kami bersama BMW Group Malaysia dan Dr Tan tentang projek eletrifikasi luar bandar tersebut melalui pautan ini - EP90: Hayat Kedua Bateri, Projek Kerjasama BMW dan Universiti Malaya.






