BMW MOTORRAD MALAYSIA UMUM PAKEJ SERVIS, WARANTI & PEMBIAYAAN BAHARU
BMW Motorrad Malaysia telah umumkan ia kini menawarkan program BMW Motorrad Service Inclusive (BMSI) dan BMW Motorrad Warranty Extension (BMWE) yang ditambah baik selama tempoh 5-tahun atau 50,000KM.
kedua-dua pakej servis dan perlindungan waranti ini boleh disertakan bersama pembiayaan motosikal bagi model terpilih melalui BMW Group Financial Services Malaysia, dengan kadar bermula dari serendah 2.99% untuk tempoh sehingga 7 tahun.
Khusus bagi BMSI, pakej ini meliputi penyelenggaraan berjadual selama 5-tahun atau 50,000KM. Pakej perlindungan ini juga merangkumi alat ganti tulen, kos buruh dan minyak kerja penyelenggaraan.
Pakej BMWE pula menambah perlindungan 2-tahun kepada waranti standard 3-tahun, menjadikan jumlah keseluruhan waranti selama 5-tahun. Pelanggan boleh memilih salah satu program atau mengambil kedua-duanya menerusi pakej gabungan.
Bergantung pada model tertentu, harga bagi pakej BMSI sahaja bermula dari RM3,100, manakala pakej BMWE pula bermula dari RM1,000. Pakej gabungan kedua-dua pakej BMSI & BMWE pula bermula dari RM4,100.
Seterusnya, program pembiayaan baharu dari BMW Group Financial Services kini menawarkan kadar pembiayaan antara 2.99% hingga 3.30% bagi model terpilih – lebih rendah berbanding kadar standard 4.6% tanpa program ini.
Tertakluk pada terma dan syarat, program pembiayaan ini ditawarkan sehingga tempoh 7-tahun. Pilihan ini membolehkan bayaran motosikal, pakej servis dan waranti lanjutan baharu yang disebut disatukan melalui satu ansuran bulanan.
Menarik sekali, Kedua-dua program kekal terikat kepada motosikal dan terus sah jika kenderaan bertukar tangan kepada pemilik seterusnya, mengikut baki tempoh perlindungan yang tersedia.
Dengan ini, pelanggan diberi peluang untuk merancang kos milikan motosikal mereka dengan lebih mudah. Selain itu, manfaat program ini juga turut membantu menyokong nilai jualan semula motosikal apabila pemilik ingin beralih ke model lain.
Menurut Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Raymond Tan, komitmen jenama itu merangkumi penjagaan selepas pembelian bagi memudahkan pelanggan merancang pemilikan dan menikmati perjalanan dengan lebih yakin.
Maklumat lanjut mengenai kelayakan model, harga pakej dan syarat perlindungan boleh diperoleh melalui laman web rasmi BMW Motorrad Malaysia atau pengedar sah terdekat.



