Kami sempat bersama BMW Group Malaysia untuk acara tayangan awal khas Spider-Man: Brand New Day yang dianjurnya semalam di mana syarikat tersebut juga membuat satu pengumuman mengejut - model iX3 baharu akan tiba di Malaysia minggu depan pada 6 Ogos.
Model tersebut adalah salah satu daripada rangkaian kenderaan elektrik (EV) ‘Neue Klasse’ yang diperkenalkan di peringkat global awal tahun lepas. Model tersebut membawa pembaharuan besar-besaran untuk bahasa reka bentuk, teknologi dalaman dan tren kuasa.
BMW Group Malaysia tidak memberi banyak petunjuk, tetap model iX3 ini dijangka tiba untuk pasaran tempatan dalam versi jarak roda panjang (Long Wheelbase) yang dikenali sebagai iX3 L.
Menarik sekali, EV buatan China oleh jenama Jerman ini akan membolehkan BMW memanfaatkan kadar cukai keutamaan kerana model ini yang dibina di Shenyang, bukan Debrecen, Hungary di mana model iX3 biasa dibina.
Bagi pasaran Malaysia, iX3 L ini juga dijangka tiba dalam varian 50L xDrive lengkap dengan setup dwi-motor yang menjana 469PS dan 645Nm. Ia juga dikuasai pek bateri jenis NMC berkapasiti 108.7kWj yang menjanjikan jarak gerak CLTC sejauh 900KM (atau sejauh 750KM mengikut standard WLTP).
Menarik juga di sini adalah kerangka dengan seni bina elektrik 800-volt model ini diasaskan. Ini juga membolehkan sokongong pengecasan pantas DC setinggi 400kW, dan ini memberi kebolehan pengecasan dari 10% ke 80% hanya dalam 21 minit.
Selain jarak antara roda (wheelbase) 108MM lebih panjang (3,005MM), iX3 L bakal tiba dengang beberapa kelengkapan khas seperti pemegang pintu jenis ‘pull-up’, skema warna kabin monokrom unik, tempat duduk lebih tebal dengan tapak lebih panjang, sandar kaki penumpang hadapan, serta tempat duduk belakang dengan sandar belakang boleh-laras sehingga 121-darjah.
Apa yang boleh dijangkakan juga adalah paparan digital canggih BMW Panoramic iDrive terkini juga yang merangkumi skrin sentuh infotainment terapung 17.9-inci dan paparan instrumen unjuran Panoramic Vision yang dibentang dari tiang ke tiang.
Nantikan maklumat lanjut, termasuk harga jualan dan pakej lepas jualan, apabila BMW iX3 L ini dirasmikan minggu hadapan.




