UMUM

BENGKEL SAH TERHAD, PEMASANGANAN SLD PADA LEBIH 200,000 KENDERAAN DIKEKANG

27 Oct 2026
BENGKEL SAH TERHAD, PEMASANGANAN SLD PADA LEBIH 200,000 KENDERAAN DIKEKANG
1 / 5

Lebih dari 200,000 kenderaan kini memerlukan pemasangan peranti pengehad kelajuan (Speed Limitation Device – SLD) secara retrofit. Tetapi, dengan jumlah bengkel dan penyedia perkhidmatan ini yang terhad, perlaksanaannya kini menghadapi kesukaran.

Perkara ini disahkan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui satu siaran akhbar rasmi susulan pertanyaan mengenainya berlaku dalam sesi Dewan Rakyat baru-baru ini.

Menurut MOT, terdapat hanya 33 bengkel dan penyedia perkhidmatan yang diiktiraf oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) setakat 26 Oktober 2026 untuk perlaksanaan pemasangan SLD. Dengan jumlah kenderaan yang terlibat, pemasangan dan perkhidmatan pengesahan fungsi SLD perlu diperluaskan.

Tambah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, jumlah itu tidak mencukupi untuk menampung keperluan pemasangan dan menjadi antara sebab kerajaan menangguhkan penguatkuasaan penuh pematuhan SLD bagi kenderaan perdagangan.

Pada masa yang sama, Loke turut mengesahkan bahawa kerajaan sedang mengalu-alukan lebih banyak lagi bengkel mendapatkan pengiktirafan JPJ untuk menyediakan pemasangan retrofit, iaitu pemasangan tambahan peranti pada kenderaan sedia ada.

Selain kapasiti bengkel yang terhad, pemasangan SLD juga berdepan dengan masalah ketidakserasian peranti dengan sesetengah model kenderaan. Tambah Loke lagi, terdapat juga pengeluar kenderaan asal yang tidak dapat menyediakan sokongan teknikal diperlukan untuk membolehkan pemasangan tersebut dilakukan.

Selain itu, penangguhan tarikh penguatkuasaan penuh keperluan pemasangan dan pematuhan SLD telah diputuskan oleh MOT pada akhir bulan Jun lagi bagi memberi ruang kepada industri melengkapkan proses tersebut secara lebih teratur.

Keputusan tersebut telah mengambil kira maklum balas pengendali kenderaan perdagangan, khususnya syarikat yang memiliki jumlah kenderaan dan saiz flit yang besar dan syarikat yang masih menjadualkan pemasangan retrofit.

Pada masa yang sama, MOT juga kini sedang memuktamadkan kerangka perundangan berkaitan pemasangan, pengesahan dan penguatkuasaan SLD. Penguatkuasaan penuh hanya akan dilaksanakan selepas kerangka tersebut diwartakan dan semua perincian pelaksanaan diselesaikan.

Jika semua itu selesai, MOT juga sahkan tarikh pelaksanaannya akan dimaklumkan lebih awal kepada pihak industri.

Kembali ke lamanTekan Habis