ASEAN NCAP BAKAL NILAI KEPINTARAN KENDERAAN MENGELAK KEMALANGAN PADA TAHUN 2031
Program Penilaian Kereta Baharu ASEAN (ASEAN NCAP) sedang bekerjasama dengan pengeluar kenderaan dan ahli akademik dalam membangunkan rangka kerja bagi menilai kebolehan kenderaan bertindak jauh lebih awal dan mengambil tindakan mengelak kemalangan sebelum risiko kemalangan berlaku.
Ketua Unit Keselamatan Kenderaan dan Penumpang MIROS, Yahaya Ahmad menerangkan bahawa bagi protokol ASEAN NCAP bagi tahun 2031-2035, penilaian keselamatan kenderaan bakal bergantung kepada keupayaan menilai risiko kemalangan lebih awal, berbanding dengan protokol sebelum ini yang bertindak balas sejurus sebelum risiko kemalangan dikesan.
Beliau menerangkan sedemikian semasa pembentangan kepada media dan industri di Kursus Keselamatan Kenderaan Ke-9 (VSC 2026/009) dan ASEAN NCAP Grand Prix Awards Ke-6 yang berlangsung di Sepang awal minggu ini.
Kursus ini secara umum melihat kepada rangkuman ASEAN NCAP bagi protokol 2026-2030, dan anda boleh mendapatkan sedikit sebanyak tentang protokol ini di dalam episod bersama Yahaya di Tekan Habis bulan lalu.
Setiap insiden terbahagi kepada beberapa fasa, bermula dengan pemanduan biasa (normal) dan mencabang kepada 2 kemungkinan berdasarkan tindak balas pemandu - sama ada pengurusan tindak balas kepada pelanggaran (Risk response), ataupun pengambilalihan yang lancar (Graceful takeover).
Menurut Yahaya, hala tuju protokol bagi penggal 2031-2035 menumpukan kepada peralihan kebolehan kenderaan menangani risiko lebih hampir kepada fasa pemanduan biasa.
Selain itu, protokol masa hadapan itu bakal melihat penilaian penumpang dewasa dan kanak-kanak (AOP dan COP) digabungkan, dan penilaian Bantuan Keselamatan (Safety Assist) dipecahkan kepada Pemanduan Selamat (Safe Driving) dan kebolehan mengelak pelanggaran (Crash Avoidance).
Dalam pada itu, pelbagai model dan syarikat pengeluar diiktiraf melalui anugerah Grand Prix Awards, acara yang dianjurkan setiap 2 tahun yang menganugerahkan pencapaian keselamatan terbaik bagi kategori Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP), Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (COP), Bantuan Keselamatan dan juga Keselamatan Motosikal.
Anugerah keseluruhan diberikan kepada Zeekr X.
Selain itu, beberapa kategori juga diberikan berdasarkan segmen kenderaan, termasuk SUV, kereta keluarga bersaiz besar, sederhana dan kecil, penarafan 5 bintang terbanyak, dan juga bagi industri.








