Kembali ke laman Tekan Habis
INDUSTRI

ALLIANCE ASSOCIATES METERAI PERKONGSIAN BERSAMA KINGDEE BAGI SISTEM PENGURUSAN SUMBER BERASASKAN AI

27 Aug 2026
Sumber gambar: Alliance Associates
Sumber gambar: Alliance Associates

Alliance Associates Sdn. Bhd. telah memeterai satu perkongsian bersama Kingdee International Software International Sdn Bhd dalam jualan, pelaksanaan dan perkhidmatan lepas jualan bagi produk Kingdee AI Suite, suatu platform yang menggabungkan pengurusan sumber syarikat (ERP), kewangan, sumber manusia dan operasi dengan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Pemeteraian pengkongsian ini dimeterai di GATE 2026 di MITEC, Kuala Lumpur semalam.

Alliance Associates merupakan satu syarikat tempatan yang membantu industri dalam melaksanakan transformasi pendigitalan, khususnya dalam pelarasan strategi, persediaan kemahiran, tadbir urus dan integrasi bagi mencapai hasil yang boleh diukur.

Perkongsian ini bakal melihat syarikat itu menjadi pelaksana sistem AI, terutamanya dalam memahami masalah yang dihadapi pelanggan, menentukan kerahan pelaksanaan, menentukan model yang sesuai digunakan, serta mengenalpasti peluang penambahbaikan.

ERP adalah satu platform perisian yang telah sekian lama digunakan secara meluas oleh syarikat-syarikat di seluruh dunia dalam memastikan pengurusan sumber dan aset yang baik. Kebanyakan syarikat-syarikat di Malaysia, termasuk syarikat automotif menggunakan sistem ERP dalam operasi harian. 

Menurut Alliance Associates, penerapan AI dalam ERP ini dapat meningkatkan keterlihatan kepada pihak pengurusan, dan menambahbaik proses membuat keputusan yang lebih tepat. Teknologi AI ini dapat membantu memahami tingkah laku pelanggan, menguruskan rantaian bekalan dengan lebih baik, dan mengoptimumkan operasi syarikat.

Tambah mereka, model AI yang tersedia juga dapat diubah suai bagi kegunaan lokalisasi, di mana pembangunan berasaskan Machine Learning dapat digunakan melihat kepada keperluan khusus daripada pelanggan.

Facebook WhatsApp X
Kembali ke laman Tekan Habis