PRODUK

2026 KIA SPORTAGE TURBO HYBRID CKD RASMI TIBA – 2 VARIAN, DARI RM148,800

26 Nov 2026
2026 KIA SPORTAGE TURBO HYBRID CKD RASMI TIBA – 2 VARIAN, DARI RM148,800
1 / 55

Tawaran SUV segmen-C dari jenama Kia iaitu Sportage telah diperbaharui untuk pasaran tempatan Malaysia. Awal hari ini, Kia Sales Malaysia (KSM) telah rasmi perkenalkan versi facelift terbaharu model tersebut yang dikenali sebagai 2026 Kia Sportage Turbo Hybrid.

Nyata melalui nama baharunya, tawaran C-SUV ini yang juga dipasang secara tempatan (CKD) oleh rakan pemasang Stellantis di kilangnya yang terletak di Gurun, Kedah tampil dengan nadi tren kuasa hibrid baharu selain wajah baharu serta peningkatan taraf kelengkapan.

Terus ke spesifikasi mekanikal, versi facelift baharu ini melihat dua-dua varian yang tersedia – X-Line 2WD dan X-Line AWD – kongsi pakej tren kuasa yang sama. Ia merangkumi sebuah enjin 1.6-liter 4-silinder turbo petrol yang digandingkan dengan motor elektrik dan pek bateri kompak 1.49kWj untuk menjana output keseluruhan 235PS dan 367Nm.

Motor elektrik tersebut telah diintegrasikan ke dalam transmisi 6-kelajuan automatik. Setup ini menjanjikan pecutan 0-100km/j hanya dalam 8 saat, serta purata kecekapan penggunaan bahan api serendah 4.9 liter/100KM (2WD) dan 5.3 liter/100KM (AWD). Khusus bagi varian AWD, ia juga menawar mod Terrain Mode Select untuk menyesuai pelbagai jenis permukaan.

Selain tren kuasa hibrid baharu ini, Sportage versi Turbo Hybrid baharu ini juga dilengkapi fungsi e-Ride dan e-Handling khusus untuk meningkatkat tahap keselesaan dan kestabilan pemanduan. Unik di sini juga adalah fungsi Baby Mode yang menjanjikan pemanduan yang lebih lancar dan lembut, terutamanya untuk keselesaan penumpang yang sedang tidur.

Dari segi visual, versi facelift Turbo Hybrid ini tampil dengan muka hadapan bersama susunan lampu LED hadapan menegak baharu. Perbezaan utama dua-dua varian adalah dari segi kelengkapan di mana varian AWD diberi tambahan utama seperti tempat duduk hadapan dengan fungsi pengudaraan dan sistem audio premium jenama Harman Kardon.

Selain itu, sorotan ciri-ciri utama lain yang dikongsi termasuk paparan skrin sentuh infotainmen 12.3-inci dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, panel meter digital interaktif 12.3-inci, serta pakej bantuan pemanduan (ADAS) yang telah dinaik taraf dengan beberapa tambahan baharu berbanding versi sebelum ini.

Kini buka untuk tempahan melalui pengedar sah, barisan 2026 Kia Sportage Turbo Hybrid ditawarkan pada harga RM148,800 (X-Line 2WD) dan RM158,800 (X-Line AWD) (tanpa insurans).

Termasuk dalam harga tersebut adalah jaminan waranti kenderaan asas selama 5-tahun atau 150,000KM, jaminan sistem hibrid selama 5-tahun atau 150,000KM, serta waranti bateri hibrid selama 8-tahun atau 160,000KM.

Selain itu, pembeli juga boleh memilih pakej Kia Maintenance Plan (KMP) pada harga RM2,980. Pelan ini merangkumi kos alat ganti dan upah kerja bagi penyelenggaraan berjadual yang diwajibkan sehingga 50,000KM atau 5-tahun, yang terdahulu.

Kembali ke lamanTekan Habis