Lagi satu pelancaran yang diadakan semasa hari pembukaan SIME Motor Expo di The Arch Gallery, Kuala Lumpur awal hari adalah untuk barisan SUV 4x4 premium 2026 Ford Everest.
Model versi kemaskini baharu ini daripada pengedar sah SIME Auto Connexion kini tersedia dalam tiga varian iatu 2.0 Sport, 2.0 Platinum serta 3.0 Platinum. Sebelum anda tanya, semua varian mengguna nadi trenkuasa turbo-diesel.
Varian 2.0 Sport menerima gubahan paling ketara. Ia termasuk peralihan dari transmisi 6-nisbah automatik ke versi 10-nisbah automatik baharu, penambahan enam mod panduan lasak, setup 4WD separuh masa dengan mod 2H, 4H & 4L, serta pilihan warna kabin dua-tona dan warna eksterior ‘Command Grey’ baharu.
Seperti dalam kembar pikap Ranger, varian Platinum membawa tambahan dan penggayaan lebih mewah. Hanya varian 3.0 Platinum sahaja terima pakej penuh siap dengan nadi 3.0-liter 4-silinder turbo-diesel berkuasa yang menghasil 250PS & 600Nm – dua-dua varian 2.0-liter kongsi nadi 2.0-liter 4-silinder dengan output 170PS & 405Nm.
Beralih ke harga, varian 2.0 Sport berdiri sebagai tawaran paling mampu milik disini dengan tanda harga RM316,888 tanpa insurans. Varian 2.0 Platinum dan 3.0 Platinum pula masing-masing ditawarkan pada RM348,888 dan RM430,888 tanpa insurans.







