2026 CFMOTO 500SR TIBA DI MOTOGP MALAYSIA 2026 – RM29,888
Barisan jenama motosikal CFMoto Malaysia yang diedar MForce Bike Holdings Sdn Bhd (MForce) telah berkembang lagi hujung minggu lalu. Sempena acara MotoGP Malaysia 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), syarikat tersebut telah rasmi perkenalkan 2026 CFMoto 500SR.
Tawaran motosikal jenis sport saiz pertengahan (middleweight) ini ditawarkan pada harga asas RM29,888 (tanpa insurans). Seperti biasa, harga tersebut termasuk jaminan waranti 2-tahun atau 20,000KM.
Selain gaya sporty moden yang tajam, salah satu tarikan utama tawaran ini adalah nadi 500cc DOHC 4-silinder berprestasi tingginya.
Nadi tersebut menghasil 78.9HP (atau 82.9HP dengan kesan ‘ram-air’) dan 49Nm daya tork. Output tersebut dicapai dengan penggunaan silinder aluminium, piston dan aci engkol (crankshaft) tempa, rod sambung jenis fracture-split dan sistem pemasaan BorgWarner.
Selain itu, nadi tersebut juga dipadankan dengan tangki bahan api 15.5-liter, serta transmisi manual 6-kelajuan yang dilengkapi klac multi-plat basah dengan fungsi anti-gelincir (slipper) dan fungsi quickshifter. Berat keseluruhannya pula adalah 192KG (basah).
Beralih ke chasis, motosikal jenis sport ini dibina atas frem tiub keluli kromium-molibdenum 20 CrMo yang ringan. Untuk sistem gantungan, ia dilengkapi fork hadapan terbalik (USD) 41MM dengan pelarasan prabeban 30-tetapan dan lantunan 16-tetapan dengan jarak travel 120MM, serta monoshock belakang jenis multi-link boleh laras dengan jarak travel 130MM.
Sistem brek pula merangkumi setup dwi-cakera hadapan 300MM bersama angkup Nissin 4-piston, serta cakera tunggal belakang 220MM. Dua-dua dikawal sistem ABS dwi-saluran dengan fungsi mod ‘Supermoto’. Turut dilengkapi adalah sistem kawalan cengkaman (TCS) 2-tahap yang boleh dimatikan, damper setereng boleh laras 24-tetapan, dan signal henti kecemasan (ESS).
Ciri-ciri premium lain yang dilengkapi pada CFMoto 500SR ini termasuk paparan meter digital TFT 6.2-inci dengan fungsi MotoPlay, port pengecas USB Type-A dan Type-C 18W, Sistem Pemantau Tekanan Tayar (TPMS), lampu LED, serta fungsi pemanas grip 5-tetapan.
Tersedia dalam dua pilihan warna (putih dan kelabu), 2026 CFMoto 500SR kini tersedia dan buka untuk tempahan melalui pengedar sah.





















