130 STESEN BYD FLASH CHARGING DISASAR PADA TAHUN 2027, DENZA D9 PRESTIGE AWD DILANCARKAN
BYD Flash Charging, yang membolehkan pengecasan sehingga 1,500kW (1.5MW) kini dilancarkan di 3 lokasi, di pusat pameran Denza di Balakong, Glenmarie, dan Jalan Klang Lama.
Jika kenderaan EV anda mampu menerima pengecasan 1.5MW ini, pengecas BYD Flash Charging ini mampu mengecas kenderaan anda dari 10% hingga 70% dalam tempoh 5 minit, dan 10% hingga 97% dalam 9 minit. Walaupun ianya tidak menjadi masalah di negara panas seperti Malaysia, pengecasan ini menjadi 3 minit lebih lama sekiranya dilakukan dalam cuaca sejuk.
Bagi membolehkan pengecasan dengan kelajuan sebegini, BYD menggunakan sistem simpanan tenaga bateri (BESS), yang akan dicas lebih perlahan menggunakan bekalan kuasa tempatan semasa pengecas tidak digunakan dan akan memberikan pengecasan pantas apabila mengecas EV yang serasi.
Setiap kabinet BESS mempunyai bateri 185kWj, dan mempunyai kapasiti 370kWj bagi setiap pengecas. Sebagai contoh, bateri bagi DENZA D9 Prestige AWD yang dilancarkan bersama pengecas Flash Charging ini mempunyai kapasiti 115kWj, bermaksud 3 kereta boleh dicas penuh sebelum sistem BESS perlu dicas semula.
Pembinaan berbentuk T yang unik kepada BYD Flash Charging ini juga membolehkan kabel ditarik ke titik pengecasan dengan mudah.
Menurut BYD Malaysia, 12 stesen BYD Flash Charging ini akan dipasang pada tahun ini, di ruang pameran DENZA dan di lokasi strategik yang lain. BYD juga meletakkan sasaran 130 stesen Flash Charging di pusat pameran BYD, stesen minyak dan lebuh raya di Malaysia pada tahun 2027.
Sementara itu, DENZA D9 Prestige AWD baharu diperkenalkan minggu lepas dengan gabungan Bateri Blade Generasi Kedua BYD dan teknologi BYD Flash Charging.
Model ini dilengkapi sistem ADAS yang merangkumi Sistem Brek Kecemasan Autonomi (AEB), Kawalan Jelajah Pintar (ICC) dan Bantuan Kekal Lorong Kecemasan (ELKA). Ciri keselamatan pasif juga termasuk beg udara hadapan tengah, dengan jumlah keseluruhan sembilan beg udara untuk perlindungan penumpang.
Ia juga sistem pacuan yang menghasilkan kuasa maksimum sehingga 410 kW (557 PS) dan tork maksimum 445 Nm, serta bateri berkapasiti 115.07 kWj,menawarkan jarak gerak sehingga 650 km berdasarkan kitaran NEDC.
DENZA D9 Prestige AWD ditawarkan bersama pakej pemilikan, termasuk pengecasan BYD Flash Charging Percuma selama 1 tahun, waranti kenderaan 6 tahun atau 150,000km, servis penyelenggaraan berjadual percuma 6 tahun, waranti bateri voltan tinggi 8 tahun atau 160,000km dengan tahap kesihatan bateri (SOH) ≥ 72.5%, dan waranti unit pacuan 8 tahun atau 160,000km.




