Tekan Habis Podcast ialah sebuah platform kandungan automotif yang membincangkan industri, teknologi dan dasar pengangkutan secara lebih mendalam. Berbeza daripada ulasan kenderaan konvensional, setiap episod memberi tumpuan kepada isu-isu yang membentuk masa depan mobiliti serta membantu pengguna memahami perkembangan dunia automotif dengan lebih baik.
Melalui perbincangan bersama pemain industri, pembuat dasar, jurutera dan pakar teknikal, Tekan Habis mengupas topik secara objektif, mudah difahami dan berasaskan fakta. Pendekatan ini telah menjadikan Tekan Habis sebagai salah satu platform rujukan bagi peminat automotif, profesional industri dan pengguna yang ingin mendapatkan perspektif yang lebih luas.
Selain platform podcast, kandungan Tekan Habis turut diterbitkan dalam bentuk artikel, video pendek dan media sosial, membolehkan setiap topik disampaikan kepada pelbagai segmen audiens di seluruh negara.
Bekas DJ kelab malam yang kini memutar dua dan empat roda hitam diringi simfoni enjin prestasi tinggi sambil mengarang kisah memandu dan menunggang jentera-jentera tersebut.
Pengalaman industri lebih sedekad menulis di surat khabar (theSun – Gear Up!), majalah (Autocar ASEAN, Motor Trader, Bike Trader, Fast Bikes Malaysia, TopGear Malaysia) sebelum menjadi Pengarang Kanan laman web CariCarz.com. Juga pernah beraksi sebagai pegawai komunikasi pasukan Petronas Sepang Racing Team di kejohanan dunia MotoGP.
Irzal bertugas di dalam sektor automotif lebih setengah dekad, sebagai jurutera rekabentuk di sebuah syarikat komponen automotif tempatan.
Selepas meninggalkan industri, beliau terus mendekati industri automotif sebagai penerbit kandungan digital, termasuk video korporat, podkas dan pelbagai bentuk komunikasi media digital.
Beliau berpendapat kandungan yang sesuai bagi membentuk industri automotif masih jauh dari mencukupi, dan medium terbaik bagi mendalami sektor ini adalah melalui podkas.
Aiman mempunyai lebih sedekad pengalaman dalam bidang produksi video dan penerbitan kandungan atas talian. Beliau juga telah merekabentuk dan membangunkan studio yang anda lihat di saluran Tekan Habis Podcast!
Sebagai pemandu kereta, penunggang motosikal dan juga dari pengalamannya di dalam membangunkan kandungan digital untuk industri automotif, beliau membawakan perspektif menarik, tajam dan pedas dari belakang “console”.
Tahukah anda bila dia muncul di skrin, tangannya masih lagi mengawal dan mengolah pilihan kamera dan memantau kualiti audio?