Kembali ke laman Tekan Habis
PRODUK

VOLVO EX90 VERSI BAHARU BAKAL TIBA

25 Aug 2026
VOLVO EX90 VERSI BAHARU BAKAL TIBA

Melalui siaran akhbar rasmi yang dikeluarkan baru-baru ini, Volvo Car Malaysia (VCM) telah sahkan rancangannya untuk memperkenalkan model Volvo EX90 versi baharu tidak lama lagi. Model tersebut diberi beberapa pembaharuan dan peningkatan dari segi teknologi, prestasi dan keselamatan.

Pertama sekali, tawaran SUV elektrik penuh (EV SUV) premium dengan tiga baris tempat duduk ini akan tampil dengan seni bina elektrik 800 volt baharu yang lebih cekap untuk mengganti seni bina 400 volt yang dingguna sekarang. Ia juga akan menampung setup tren kuasa dwi-motor dengan pacuan semua roda Twin Motor All-Whee-Drive baharu.

Setup ini menjanji output setinggi 680HP dan 870Nm, serta pecutan 0-100km/j boleh dicapai dalam 4.2 saat. Selain prestasi yang dipertingkatkan, seni bina ini membolehkan penggunaan tembaga dikurangkan, dan juga sokongan pengecasan pantas DC setinggi 350kW untuk membolehkan pengecasan 10-80% hanya dalam 22 minit.

VCM juga tambah bahawa salah satu tumpuan utama EX90 baharu ini juga ialah konsep ‘Safe Space Technology’. Pendekatan ini melihat penggabungan sistem keselamatan aktif di bahagian luar dengan penderia di dalam kabin untuk membentukkan sistem keselamatan bersepadu.

Sistem tersebut memproses maklumat dan membantu kenderaan bertindak melalui pengkomputeran teras yang dikuasai cip berkembar Nvidia Drive AGX Orin. Pada masa yang sama, sistem penderia di dalam kabin akan memantau persekitaran secara berterusan dan direka untuk campur tangan apabila diperlukan.

Menarik di sini juga adalah kemungkinan model ini akan dipasang secara tempatan (CKD) oleh VCM di kilang pemasangannya yang terletak di Shah Alam, Selangor. Setakat ini, model EX90 sedia ada adalah tawaran yang diimport penuh (CBU) dengan tanda harga RM442,888 (harga atas jalan tanpa insurans).

Daftar minat bagi tawaran ini sudah pun dibuka VCM melalui pengedar sah serta di atas talian melalui laman sesawang rasminya. Syarikat tersebut juga tambah bahawa 100 pelanggan pertama yang membuat tempahan akan diberi ganjaran istimewa. Butiran mengenai ganjaran berkenaan akan diumumkan kemudian.

Facebook WhatsApp X
Kembali ke laman Tekan Habis