Sempena Art of Speed 2026 (AOS 2026) yang berlangsung di MAEPS, Serdang sepanjang hujung minggu ini, syarikat pengedaran motosikal premium tempatan Didi Group mengambil kesempatan dengan menganjurkan beberapa pelancaran di festival tersebut.
Kempen pelancaran Didi Group di AOS 2026 diterajui oleh Vespa Malaysia dahulu, dan tiga model skuter premium terbaru dari jenama Itali terkemuka ini rasmi tiba, iaitu 2026 Vespa Primavera S 180, 2026 Vespa Sprint S 180, serta 2026 Vespa Sprint Tech 180.
Menarik sekali, ketiga-tiga model baharu ini juga tiba dengan nadi i-Get 180 baharu yang dibangunkan Piaggio Group - syarikat induk jenama Vespa – untuk mengganti nadi i-Get 150 yang digunakan hampir semua model Vespa setakat ini. Selain peningkatan dari segi prestasi, Vespa juga menyatakan tren kuasa baharu ini juga lebih cekap tenaga.
Dengan kenaikan kapasiti dari 155cc ke 175cc, enjin i-Get 180 ini juga memberi output pada tahap yang lebih tinggi – 15PS dan 13.7Nm. Selain itu, setup tiga omboh (valve), sistem suntikan bahan api elektronik, penyejukkan udara dan padanan transmisi automatik CVT masih kekal bagi enjin satu-silinder ini.
Ciri-ciri premium tertentu yang dikongsi sama juga termasuk paparan meter digital (TFT 5-inci bagi Sprint Tech), sistem brek ABS satu (Primavera S 180 dan Sprint S 180) dan dwi- (Sprint Tech 180) saluran , serta fungsi kunci pintar, di antara banyak kelengkapan mewah dan canggih lain.
Selain itu, kelengkapan asas masing-masing pula kelihatan cukup tinggi, sekali gus mewajarkan tanda harga asas (tanpa insurans) premium masing-masing juga – RM21,500 (Primavera S 180), RM21,900 (Sprint S 180) dan RM23,500 (Sprint Tech 180).
Termasuk sekali dalam harga tersebut adalah jaminan waranti 4-tahun atau 60,000KM.















