Kembali ke laman Tekan Habis
PRODUK

VESPA 946 HORSE TIBA – 3 UNIT SAHAJA, RM108,999

23 Jun 2026
VESPA 946 HORSE TIBA – 3 UNIT SAHAJA, RM108,999
1 / 9

Kami berpeluang bersama Didi Group, pengimport dan pengedar rasmi jenama skuter premium buatan itali iatu Vespa, semalam di Starhill Gallery, Kuala Lumpur, sempena pelancaran model siri khas Vespa 946 terbaru dari jenama tersebut.

Diilhamkan sempena kalendar haiwan zodiak Cina tahun ini, Vespa 946 Horse tampil dengan beberapa sentuhan khas. Ciri-ciri tersebut termasuk warna eksklusif ‘Deep Bay Brown’, aksen hiasan yang diinspirasikan oleh dunia tunggangan kuda (equestrian), serta hasil kerja kraftangan kulit khas bagi tempat duduk, kedua-dua belah pemegang hendal, balutan batang cermin sisi, dan beg simpanan kargonya.

Semua ini tampil sebagai tambahan atas badan monokok buatan tangan ikonik yang mengguna komponen aluminium yang dikimpal. Tidak seperti model Vespa lain, setiap unit 946 dibina dengan teliti oleh tukang manusia (Artisan) menggunakan teknik peringkat ‘couture’. Pengeluarannya juga hanya berlaku melalui pemasaran edisi terhad atau khas yang dibina dalam bilangan tertentu yang ditetapkan setiap tahun.

Dari segi mekanikal, Vespa 946 tersedia dengan pilihan nadi satu silinder bersama sistem tiga injap dan penyejukan udara 125cc atau 155cc. Versi 155cc menghasil kira-kira 13HP & 12.8Nm untuk memacu roda belakangnya melalui transmisi CVT automatik. Kelengkapan utama lain termasuk tangki bahan api 8-liter, roda 12-inci, serta brek cakera depan belakang 220MM dengan sistem brek ABS dwi-saluran dan ASR.

Menurut Didi Group, hanya 3 unit Vespa 946 Horse diperuntukkan untuk pasaran Malaysia pada harga asas RM108,999 setiap satu.

Bukan sahaja salah satu tawaran jenama Vespa yang termahal pernah dipasarkan di Malaysia, ia juga berdiri sebagai salah satu model jenama skuter premium Itali tersebut yang cukup jarang ditemui.

Facebook WhatsApp X
Kembali ke laman Tekan Habis