Kembali ke laman Tekan Habis
INDUSTRI

Tiada Cadangan Tarik Balik Syarat Import EV, kata MITI

15 Jul 2026
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjelaskan bahawa kerajaan tidak bercadang untuk menarik balik keputusan bagi syarat mengimport kenderaan elektrik (EV) yang telah siap dipasang, ataupun Completely Built Up (CBU).

Kementerian itu menjelaskan di parlimen bahawa keputusan itu adalah selaras dengan Dasar Automotif Nasional (NAP 2020), dan kerajaan mengambil pendekatan yang seimbang di antara kepentingan pengguna dan membangunkan industri tempatan.

Bermula 1 Julai 2026, semua pengimportan EV CBU tertakluk kepada dua syarat, iaitu nilai kos, insurans dan pengangkutan (CIF) minimum sebanyak RM200,000, dan mempunyai kuasa minimum 180kW.

Dalam menjawab soalan dari ahli parlimen Labis mengenai sama ada dasar ini bercanggah dengan dasar kerjaan untuk mempercepatkan penggunaan EV di kalangan rakyat, MITI berkata kerajaan tidak menghentikan usaha memperluaskan penggunaan EV, dan masih meneruskan pengecualian 100 peratus duti import, duti eksais dan cukai jualan bagi kenderaan yang dipasang secara tempatan, atau Completely Knocked Down (CKD) sehingga 31 Disember 2027.

“Pengguna berhak menikmati kenderaan EV yang mampu milik, manakala negara pula memerlukan industri automotif yang kukuh bagi mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, membangunkan vendor tempatan, menarik pelaburan berkualiti serta memperkukuh rantaian bekalan domestik,” jelas MITI.

MITI juga berkata pada masa yang sama, kerajaan mempercepatkan peluasan rangkaian kemudahan pengecasan di seluruh negara. 

-- Sumber Berita: Bernama

Facebook WhatsApp X
Kembali ke laman Tekan Habis