Selepas model X50, giliran model X70 yang lebih besar pula kini menerima layanan 'Sport Edition'.
Proton telah mengumumkan bahawa tawaran C-SUV utamanya kini tersedia, walaupun sebagai tawaran edisi terhad - hanya 600 akan dihasilkan, dan tempahan kini buka. Harga sebenar X70 Sport Edition ini hanya akan diumumkan pada 16 April nanti.
Versi ini berasaskan varian Premium dan menerima perincian yang sama seperti X50 Sport Edition yang dilancarkan Januari tahun lalu - eksteriornya dilayangkan warna Quartz Black, aerokit (splitter hadapan dan skirt sisi serta belakang) dalam serlahan jalur merah, serta rim aloi 19-inci hitam.
Di dalam, kabinnya kini mendapat serlahan jahitan merah di tempat duduk, roda stereng dan juga perehat tangan hadapan, serta sulaman “Sport Edition” pada perehat badan tempat duduk hadapan.
Secara tipikal, tiada peningkatan mekanikal untuk dilaporkan. Edisi khas ini kongsi tren kuasa i-GT 1.5-liter 4-sil turbo petrol yang versi asasnya telah dikemaskini dengan pada awal tahun ini.
