Ingress, salah satu syarikat pengedaran kenderaan terbesar dalam pasaran tempatan, telah menghentikan operasi pengedaran untuk jenama-jenama mewah utamanya iaitu BMW, MINI dan Volvo.
Perkara ini disahkan syarikat itu susulan penamatan operasi anak syarikatnya Ingress Swede Automobile sebagai pengedar Volvo pada 1 Ogos lalu. Sebelum itu, operasi pengedaran jenama BMW dan MINI kumpulan tersebut sudah diambil alih Sime Motors yang juga telah dijenamakan semula sebagai Performance Motors.
Pada Mei tahun lalu, Sime Motors dan Ingress Corporation umumkan penjalinan usaha sama untuk menubuh Performance Motors Malaysia. Kumpulan pengedaran ini telah mula mengendalikan cawangan-cawangan jenama tersebut milik Ingress, khususnya BMW Damansara, BMW Bandar Puteri Puchong serta MINI Bangsar.
Walaupun tidak lagi mempunyai rangkaian pengedaran Volvo, BMW dan MINI, Ingress masih lagi beroperasi sebagai pengedar rasmi jenama-jenama lain. Termasuk di sini adalah operasi pengedaran jenama Perodua (The Curve dan Mutiara Damansara), Proton eMas (Sek. 8, Bandar Baru Bangi), dan Mitsubishi (Bandar Bukit Puchong, Bandar Baru Bangi dan Sek. 23, Shah Alam).


