Kembali ke laman Tekan Habis
PRODUK

SUZUKI & FLUX PERKENALKAN PROGRAM LANGGANAN – BULANAN DARI RM690*

27 Jul 2026
SUZUKI & FLUX PERKENALKAN PROGRAM LANGGANAN – BULANAN DARI RM690*
Foto: Thoriq Azmi
1 / 7

Suzuki Cars Malaysia (Naza Eastern Motors) telah umumkan kerjasama baharu bersama Flux – sebuah platform langganan kenderaan. Dua-dua pihak telah menandatangani sebuah Memorandum Persefahaman (MoU) bagi kolaborasi tersebut awal hari ini.

Menurut Suzuki, kerjasama ini bertujuan untuk memperluaskan lagi akses kepada tawaran-tawaran jenama Jepun berlambang S ini – khususnya bagi model SUV crossover kompak hibrid Fronx dan SUV 4x4 kompak terkemukanya iaitu Jimny AllGrip Plus.

Yuran langganan melalui Flux pada kadar tetap biasanya bermula dari RM2,225 sebulan untuk model Fronx. Bagi model Jimny AllGrip Plus pula, yuran langganan tetap biasanya melalui Flux bermula dari RM3,278 sebulan.

Sempena pelancaran program ini dan bulan kemerdekaan menjelang Ogos ini, Flux juga memberi tawaran khas dengan potongan harga sebanyak 69% bagi bayaran yuran bulan pertama dan terakhir untuk pelan langganan terpilih selama 24 hingga ke 36 bulan.

Melalui promosi tersebut, yuran langganan khas untuk model Fronx bermula dari RM690 bagi bulan pertama dan terakhirnya. Bagi model Jimny AllGrip Plus, promosi khas ini mengurangkan yuran langganan bulan pertama dan terakhirnya ke RM1,016.

Pakej langganan Flux merangkumi insurans, cukai jalan, penyelenggaraan (servis) serta penghantaran kenderaan. Para pelanggan tidak perlu sediakan wang pendahuluan, dan mereka juga tidak terikat dengan komitmen kewangan jangka panjang.

Selain itu, pelanggan Suzuki yang melanggan kenderaan mereka melalui Flux akan turut diberi akses pada kenderaan ganti (courtesy car) secara percuma sekiranya kenderaan mereka sedang menjalani penyelengaraan.

Menarik sekali, dua-dua pihak juga merancang untuk mulakan pelaksanaan kumpulan awal kenderaan Suzuki di platform Flux dan rangkaian pengedar Suzuki seluruh negara, serta sokongan melalui pelbagai aktiviti pemasaran digital.

Facebook WhatsApp X
Kembali ke laman Tekan Habis