Kembali ke laman Tekan Habis
UMUM

SISTEM PEMBAYARAN TOL JUSTGO ANPR KINI AKTIF DI SELURUH JAJARAN PLUS

27 Aug 2026
SISTEM PEMBAYARAN TOL JUSTGO ANPR KINI AKTIF DI SELURUH JAJARAN PLUS
1 / 3

PLUS Malaysia telah umum bahawa ia sudah melaksanakan Sistem Pembayaran Tol Terbuka berasaskan teknologi Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR) JustGo bagi kenderaan persendirian di seluruh jajaran Lebuhraya Utara-Selatan.

Ada beberapa pengecualian di sini seperti Jambatan Pulau Pinang, walaupun Jambatan Kedua Pulau Pinang telahpun dilengkapi sokongan untuk sistem berkenaan di plaza tol Bandar Cassia. PLUS sahkan sistem ini akan dilengkapkan di Jambatan Pulau Pinang tidak lama lagi.

Dengan pengumuman ini, PLUS telah melengkapkan rangkaian di wilayah tengah dan selatan, dengan menghubungkan bahagian utara bermula dari Sungai Dua di Pulau Pinang hingga ke penghujung selatan di Kempas, Johor.

Walaupun tidak dinyatakan, kami pasti pelaksanaan dan sokongan sistem ini juga merangkumi jajaran Lebuhraya Hubungan Tengah (ELITE) dan Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) sekali.

PLUS telah perkenalkan sistem ini pada bulan Januari lalu melalui satu program perintis sepanjang 87.7KM dari Hutan Kampung hingga Sungai Dua. Pada ketika itu, sistem JustGo ANPR ini disokong melalui plaza tol Alor Setar (Utara dan Selatan), Pendang, Gurun, Sungai Petani (Utara dan Selatan) serta Bertam.

Sistem ini telah diperluaskan lagi pada bulan Jun ke plaza tol paling utara di Jitra. Lebuhraya Butterworth-Kulim turut menyertai sistem ini, melibatkan plaza tol Kubang Semang dan Lunas.

Seterusnya, PLUS juga telah mula menghubung laluan selatan dengan menambah plaza tol paling selatan di Kempas, selain plaza tol Tanjung Kupang, Lima Kedai dan Perling di Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua).

Pengguna JustGo ANPR yang sudah berdaftar  boleh mengguna sistem ii melalui mana-mana lorong yang tersedia di plaza tol yang disebut – sistem ini tidak mempunyai lorong khas. Hanya ada satu pengecualian buat masa kini iaitu di Plaza Tol Bandar Cassia – sistem JustGo hanya beroperasi di Lorong RFID dengan tanda titik merah.

Untuk pengguna jalanraya yang inhin mengguna sistem pembayaran tol tanpa tunai ini, anda perlu muat turun aplikasi JustGo dan daftarkan akaun melaluinya. Di sini, nombor pendaftaran kenderaan serta kad bank pengguna akan dipaut untuk tujuan pembayaran.

Setelah selesai mendaftar, pengguna boleh membayar tol dengan hanya melalui plaza tol, di mana kamera akan mengimbas nombor pendaftaran kenderaan – ia berfungsi sama seperti sistem di tempat letak kereta pusat beli-belah.

Facebook WhatsApp X
Kembali ke laman Tekan Habis