Awal hari ini, BMW Group Malaysia telah umumkan perubahan pimpinan korporatnya. Bermula 1 September 2026, syarikat tersebut akan dipimpin oleh Raymond Tan Chor Ann sebagai Pengarah Urusan (Managing Director).
Pelantikan Tan sebagai Pengarah Urusan syarikat itu merupakan satu sejarah. Buat pertama kali dalam tempoh 23 tahun operasinya, BMW Group Malaysia akan dipimpin oleh seorang rakyat tempatan Malaysia.
Sepanjang dua dekad yang lalu, Tan telah memegang beberapa tugasan penting di dalam dan luar negara, serta di Jerman di ibu pejabat BMW Group. Menarik sekali, beliau merupakan sebahagian daripada pasukan perintis BMW Group Malaysia pada tahun 2003 di mana beliau bermula sebagai pengurus perancangan produk dan harga.
Kemudian, Tan berpindah ke ibu pejabat kumpulan di Munich sebagai pengurus produk serantau. Di sana, beliau bertanggungjawab untuk perancangan produk antarabangsa dan penyelarasan pasaran strategik, sebelum kembali ke Malaysia untuk menerajui pemasaran, kemudian jualan.
“Saya teruja untuk kembali ke Malaysia bagi menerajui syarikat jualan nasional sebagai pengarah urusan tempatan pertama BMW Group Malaysia, terutamanya pada saat penting ini ketika BMW Group sedang bersedia untuk ke era baharu dengan pengenalan rangkaian model Neue Klasse yang akan datang,” kata Tan.
“Keutamaan saya adalah untuk mengembangkan lagi perniagaan, memprofesionalkan rangkaian runcit, memperkukuh kesetiaan pelanggan dan terus meletakkan BMW Group sebagai jenama premium pilihan di Malaysia,” tegaskan Tan lagi.
Tan akan mengganti Benjamin Nagel yang, selepas dua setengah tahun, akan berpindah untuk memikul tugas sebagai Pengarah Urusan kumpulan BMW di pasaran Taiwan, Hong Kong dan Macao.

