Kembali ke laman Tekan Habis
INDUSTRI

PUSPAKOM PERKENAL SISTEM PEMERIKSAAN KENDERAAN DENGAN BANTUAN AI

10 Aug 2026
PUSPAKOM PERKENAL SISTEM PEMERIKSAAN KENDERAAN DENGAN BANTUAN AI
1 / 12

Syarikat pemeriksaan kenderaan Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) telah memperkenalkan sebuah sistem pemeriksaan kenderaan baharu dan canggih yang dibantu oleh kecerdasan buatan – Artificial Intelligence (AI) – yang, menurutnya, memberi operasi yang lebih berkesan.

Perkara itu didedahkan Puspakom melalui siaran akhbar rasmi yang dikeluarkannya. Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman berkata, teknologi tersebut direka bentuk melalui kerjasama dengan Keymag Sdn Bhd, sebuah syarikat teknologi tempatan.

Sistem tersebut mampu mengautomasikan pengesanan komponen dan kecacatan kenderaan melalui analisis imej pintar. Mahmood turut tambah sistem ini berupaya mengesan kecacatan seperti kakisan, kebocoran minyak, kerosakan sistem brek, kecacatan gandar dan kerosakan struktur dengan lebih konsisten.

Sistem yang dikuasai AI ini didakwa mampu meningkatkan kecekapan pemeriksaan dengan lebih ketara. Puspakom juga berkata ia memanfaatkan AI bukan sekadar untuk memperkenalkan teknologi baharu tetapi untuk mewujudkan manfaat yang bermakna kepada pelanggan, pengguna jalan raya dan komuniti secara keseluruhan.

“AI membolehkan kami mentakrif semula cara pemeriksaan kenderaan dilaksanakan. Dengan mengintegrasikan AI ke dalam proses pemeriksaan, kami dapat meningkatkan kecekapan operasi, memperkukuh konsistensi pemeriksaan dan memberikan pengalaman pelanggan yang lebih baik tanpa menjejaskan integriti pemeriksaan berkanun kenderaan,” kata Mahmood lagi dalam kenyataan rasmi yang disiar.

Menarik sekali, ketua eksekutif syarikat tersebut juga menekankan bahawa AI memberikan nilai yang nyata kepada pemandu kenderaan komersial yang bergantung kepada produktiviti untuk menjana pendapatan.

“Dengan mengurangkan masa yang di­perlukan untuk pemeriksaan bawah kenderaan berkuasa AI daripada 10 minit kepada kira-kira satu minit, iaitu pengurangan hampir 90% daripada tempoh pemeriksaan, seorang pemandu lori memperoleh kira-kira 10 minit tambahan yang boleh digunakan untuk membuat penghantaran, melayani pelanggan atau pulang ke rumah lebih awal,” ulas Mahmood lagi.

Selain pemeriksaan bawah kenderaan, Puspakom juga telah memperluaskan keupayaan teknologi AI ini melalui usahasama pembangunan ASTRA, iaitu penyelesaian pemeriksaan atas kenderaan yang sedang dibangunkan dengan kerjasama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

“Bersama-sama dengan keupayaan pemeriksaan tayar berkuasa AI yang akan diperkenalkan pada masa hadapan, inisiatif-inisiatif ini merupakan sebahagian daripada pelan jangka panjang Puspakom ke arah pemeriksaan kenderaan pintar dan inovasi berterusan.

“Kesemua inovasi ini akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh 24 bulan akan datang,” jelaskan Mahmood lagi.

Facebook WhatsApp X
Kembali ke laman Tekan Habis