PUSPAKOM Sdn Bhd telah umumkan ia bakal mengambil 100 pemeriksa kenderaan (VE) baharu di seluruh negara tahun ini. Perkara ini disahkan melalui siaran akhbar yang dikeluarkan syarikat tersebut.
Menurut PUSPAKOM, langkah ini mencerminkan keyakinannya terhadap pertumbuhan jangka panjang negara serta komitmennya untuk melindungi pengguna jalan raya menerusi pemeriksaan kenderaan yang boleh dipercayai dan bertaraf terbaik.
Penambahan VE baharu ini bakal membantu kurangkan tempoh menunggu pelanggan, meningkatkan daya tahan operasi ketika tempoh puncak, serta menyokong pelaksanaan inovasi perkhidmatan baharu yang diperkenalkan PUSPAKOM tahun ini.
Bagi menyokong usaha pengambilan ini, 23 calon VE kini sedang mengikuti Program Intensif Pemeriksa Kenderaan atau (VEIP) – program latihan dan pensijilan berstruktur yang dibangunkan untuk lahirkan VE kompeten dan profesional sebelum ditempatkan di cawangan-cawangan PUSPAKOM serta operasi Perkhidmatan Trak Bergerak (MTS).
"Dengan penambahan 100 VE baharu, kami bukan sahaja mewujudkan peluang pekerjaan teknikal untuk rakyat Malaysia, malah memperkukuh misi utama untuk memastikan setiap kenderaan di jalan raya mematuhi standard keselamatan dan alam sekitar yang ketat,” tambah, Mahmood Razak Bahman, CEO PUSPAKOM.





