Hyundai Motor Malaysia (HMY) telah rasmi umumkan pembukaan sebuah pusat 4S (jualan, servis, alat ganti dan pengecatan) baharu di koridor utara semenanjung Malaysia, khususnya di daerah Juru, Pulau Pinang.
Dikenali sebagai Hyundai Juru GBM, pusat 4S baharu ini dikendalikan oleh pengedar sah Goh Brothers Motor. Dengan keluasan binaan 1,432 meter persegi, cawangan ini akan mempamerkan rangkaian produk teras Hyundai sepenuhnya, iaitu Santa Fe, Tucson dan Staria. Waktu operasi adalah dari 9 pagi hingga 5.30 petang setiap hari.
Cawangan ini akan menyediakan pelanggan di wilayah utara akses terus kepada produk di bawah subjenama berprestasi tinggi Hyundai N, dengan Goh Brothers Motor menjadi pengedar eksklusif Hyundai N. Sementara itu, bahagian servis cawangan ini dilengkapi lapan ruang kerja yang mampu lakukan servis dan penyelenggaraan segera.
“Pulau Pinang merupakan salah satu hab ekonomi dan inovasi terpenting di Malaysia, menjadikannya hab strategik untuk Hyundai. Goh Brothers Motor mempunyai akar umbi yang mendalam di wilayah utara dan rekod prestasi yang terbukti dalam memberikan pengalaman pelanggan yang berkualiti,” kata Jahabarnisa Haja Mohideen, pengarah urusan HMY.
Pembukaan pusat 4S baharu ini melambangkan penerusan strategi pengembangan rangkaian HMY di seluruh negara dalam usaha mencapai matlamat utamanya untuk mendirikan sebanyak 25 cawangan di seluruh negara menjelang akhir tahun 2026.



