Kembali ke laman Tekan Habis
PRODUK

PROTON & SUNWAY TINY TOYS HASILKAN SAGA MC3 & E.MAS 5 MINIATUR

25 Jun 2026
PROTON & SUNWAY TINY TOYS HASILKAN SAGA MC3 & E.MAS 5 MINIATUR
1 / 7

Berita khas buat penggemar dan pengumpul model kenderaan miniatur tempatan. Baru-baru ini, Proton telah umumkan kolaborasi rasmi bersama Sunway Tiny Toys untuk menghasilkan model skala 1/64 untuk Saga MC3 dan juga e.MAS 5.

Dua-dua tawaran adalah sebahagian daripada inisiatif Cerita Malaysia Kita oleh Sunway Tiny Toys yang bertema Tahun Melawat Malaysia 2026. Ciptaan bawah koleksi ini bertuju meraikan kisah, jenama dan pengalaman harian rakyat Malaysia.

Tidak seperti model Proton Saga generasi pertama yang dihasilkan jenama Hot Wheels, model Saga MC3 dan e.MAS 5 buatan Sunway Tiny Toys tampil dengan binaan yang lebih terperinci dan realistik.

Dalam model Saga MC3, Sunway Tiny Toys telah membina fungsi penutup bonet depan serta dua-dua pintu hadapan yang boleh buka. Masing-masing mendedah dan beri akses pada binaan miniatur enjin i-GT 1.5-liter 4-sil petrol dan dalaman kabin dengan jelas.

Selain itu, rekaan roda (rim) model Saga MC3 ini juga menepati rupa kereta sebenar, serta pilihan warna eksterior Ruby Red dan Marine Blue. Ciri-ciri realistik lain juga termasuk rekaan lampu hadapan dan belakang model ini yang juga seiras Saga MC3 sebenar.

Mungkin inilah sebab-sebab mengapa miniatur Saga MC3 ini dijual pada harga ‘premium’ – RM78 setiap satu.

Buat masa kini, Sunway Tiny Toys telah mula jualan model Saga MC3 miniatur ini di mana ia dipakejkan dalam kotak kertas a la model-model jenama Tomica dari Jepun. Tawaran model e.MAS 5 pula bakal dilancar sekali tidak lama lagi.

Ingin beli? Dua-dua model ini hanya terjual melalui ‘butik’ Sunway Tiny Toys yang terletak di pintu masuk Sunway Lagoon (sebelah Sunway Pyramid), serta penjual semula terpilih.

Facebook WhatsApp X
Kembali ke laman Tekan Habis