Kembali ke laman Tekan Habis
INDUSTRI

PROTON MULAKAN PEMASANGAN E.MAS 7 PHEV DI TANJONG MALIM

31 Jul 2026
PROTON MULAKAN PEMASANGAN E.MAS 7 PHEV DI TANJONG MALIM
1 / 6

Proton e.MAS 7 PHEV telah mula dipasang di kilang kenderaan tenaga baharu (NEV) Proton di Tanjong Malim.

Kilang NEV Proton kini mempunyai kapasiti pengeluaran 20,000 unit setahun, dan sedang melalui pembinaan tambahan untuk meningkatkan kapasiti ini kepada 42,000 unit setahun.

Pada masa yang sama, Proton e.MAS 7 CKD ini membawakan satu kemaskini utama: penambahan ciri kerusi urut bagi tempat duduk hadapan.

"Pengeluaran hari ini membawa makna yang lebih besar daripada sekadar permulaan pemasangan tempatan. Ia mencerminkan komitmen jangka panjang PRO-NET dalam melabur untuk memperkukuh keupayaan Malaysia, bekerjasama rapat dengan rakan kongsi tempatan serta terus memberikan nilai tambah yang lebih besar kepada para pelanggan kami. Seiring dengan usaha memperluaskan kandungan tempatan, kami kekal fokus dalam membina asas yang lebih kukuh untuk masa depan mobiliti berkuasa elektrik di Malaysia," kata Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani hari ini.

Dalam satu taklimat kepada media, Proton juga menyatakan bahawa setakat ini, penerimaan model tenaga baharu daripada syarikat itu juga menjimatkan penggunaan bahan api sebanyak 21.26 juta liter, bersamaan RM39.9 juta penjimatan subsidi.

Lebih menarik, Proton juga berkongsi bahawa berdasarkan data pembelian dari jenama itu, pembeli yang tinggal di kediaman bertingkat tinggi (high rise) mencatatkan pembelian NEV di antara 19% (e.MAS 7 EV) dan 24% (e.MAS 5 EV dan e.MAS 7 PHEV).

"Pemasangan tempatan Proton e.MAS 7 PHEV merupakan bukti kemajuan positif yang dicapai oleh industri automotif Malaysia di bawah hala tuju strategik MITI dalam membina ekosistem mobiliti yang lebih kukuh, berdaya saing dan dipacu oleh teknologi. Melalui dasar yang menyokong peningkatan kandungan tempatan, pelaburan serta kerjasama erat antara pemain industri, MITI terus membuka lebih banyak peluang kepada pembekal tempatan, pembangunan bakat berkemahiran tinggi serta pengukuhan keupayaan pembuatan termaju. Pencapaian ini merupakan satu lagi langkah ke arah merealisasikan aspirasi Malaysia untuk menjadi hab serantau bagi pengeluaran kenderaan generasi baharu dan kenderaan elektrik," kata Datuk Seri Johari.

Facebook WhatsApp X
Kembali ke laman Tekan Habis