Proton mengumumkan angka jualan Mac 2026, dan pembuat kereta itu berkata ia telah menjual sejumlah 15,706 kenderaan. Ini merangkumi model ICE, EV dan PHEV.
Prestasi ini menanda peningkatan sebanyak 15.4% berbanding Februari 2026 (13,566 unit), dan ia juga 12.8% lebih baik daripada apa yang dicapai jenama nasional ini pada bulan yang sama pada tahun 2025.
Jumlah jualannya dalam suku pertama tahun ini juga telah mencecah 49,140 unit, dan ini menandakan kadar pertumbuhan setakat tahun ini (YTD) sebanyak 40.1%. Proton juga tambah bahawa jumlah angka jualan suku pertama tersebut adalah titik tertinggi dalam tempoh 22 tahun - prestasi terbaiknya sejak 2004.
Tawaran terbarunya, 2026 proton X90 (MC1) yang rasmi lancar awal bulan lepas, berjaya rekod jumlah jualan sebanyak 323 unit walaupun ia masuk dalam pasaran tidak sampai sebulan penuh. Model 2026 Proton S70 (MC1) yang tiba sebelumnya pula melihat 2,254 unit dijual dalam bulan yang sama.
Jualan model e.MAS 7 PHEV yang juga baharu dari Proton buat tahun ini selepas rasmi dilancar Februari lalu juga cukup laris dengan sebanyak 646 unit telah terjual bulan lalu. Setakat ini, model C-SUV dengan nadi tren kuasa PHEV ini juga telah menerima lebih daripada 4,900 tempahan.
Model Proton Saga generesi keempat masih tetap laris dengan 5,438 unit terjual bulan lepas. Walaupun angka ini sedikit rendah berbanding jualan pada bulan sama tahun lepas (Mac 2025), jumlah jualan keseluruhan model Saga dalam suku pertama tahun ini naik 38% berbanding jualan model Saga sebelum ini pada suku pertama 2025.
