Proton telah mengembangkan lagi operasi eksport luar negaranya. Baru-baru ini, anak syarikatnya Proton International Corporation Sdn Bhd (PICSB) – unit perniagaan yang bertanggungjawab membangun operasi eksport Proton – telah memeterai satu kerjasama baharu bersama David Pieris Holdings (Private) Limited (DPHL) dari Sri Lanka.
Melalui usaha sama tersebut, PICSB telah melantik DPHL sebagai pengedar sah jenama Proton e.MAS di pasaran Sri Lanka. Sebuah syarikat pegangan David Pieris Group, DHPL pada mulanya tertumpu pada perniagaan automobil sebelum berkembang ke perniagaan lain seperti perkhidmatan kewangan, logistik dan perkhidmatan riadah.
Dengan pengambilan jenama Proton e.MAS menjadi sebahagian daripada portfolionya, DHPL bakal memanfaatkan perkhidmatan kewangan dan logistik dalamannya untuk menyokong usaha baharunya mengedar model-model kenderaan tenaga baharu (NEV) Proton e.MAS di Sri Lanka bermula lewat tahun ini.
“Dengan sumber yang luas dan pengalaman automotif bertahun-tahun, cita-cita utama kami adalah untuk Proton menjadi jenama NEV terkemuka di negara ini,” tambah Lim lagi. Beliau juga berkata pelancaran Proton e.MAS telah membuka jalan ke arah penembusan pasaran yang lebih baik untuk PICSB.
Menurut PICSB lagi, Sri Lanka berdiri sebagai pasaran luar kelima di mana jenama Proton e.MAS dieksport ke selepas Singapura, Trindad and Tobaga, Mauritius, serta Nepal. Senarai ini bakal berkembang lagi tahun ini dengan satu lagi pasaran eksport iaitu Brunei.
Pada masa yang sama, Proton e.MAS (PRO-NET) juga meraih pengukuhan kedudukannya dalam pasaran kenderaan elektrik (EV) tempatan apabila ia muncul sebagai jenama xEV terpantas di Malaysia yang berjaya melepasi angka 30,000 pendaftaran. pencapaian ini hadir tidak lama selepas Proton e.MAS melepasi angka 20,000 pendaftaran tahun ini.
Melalui siaran akhbar rasmi berasingan, PRO-NET berkata sebanyak 31,504 unit telah didaftarkan setakat 31 Julai 2026. Pencapaian itu tiba dalam tempoh 20 bulan selepas pelancaran Proton e.MAS 7 pada Disember 2024.
Daripada jumlah tersebut, PRO-NET juga berkata sebanyak 30,293 unit merupakan pendaftaran dalam negara. Bagi eksport pula, lebih dari 1,211 unit telah dieksport ke luar negara, termasuk 130 unit Proton e.MAS 5, sekali gus memperluaskan kehadiran jenama nasional itu dalam segmen EV global.






