PROTON telah menerima pensijilan Sistem Pengurusan Tenaga ISO 50001:2018 dari British Standards Institution (BSI), yang diumumkan sempena pembukaan Global Automotive Technology Exhibition (GATE) di MITEC, Kuala Lumpur semalam.
Ini menjadikan syarikat itu pengeluar kenderaan penumpang pertama di Malaysia yang menerima pensijilan itu. Menurut PROTON, sistem itu menyokong sasaran PROTON untuk meningkatkan kecekapan tenaga sebanyak 2% setiap tahun.
ISO 50001 merupakan standard antarabangsa bagi sistem pengurusan tenaga, meletakkan sasaran jelas bagi syarikat-syarikat mengambil langkah teratur dalam penggunaan tenaga melalui penambahbaikan yang sistematik dan boleh diukur.
Melalui pemahaman tentang penggunaan tenaga sesuatu syarikat, prestasi tenaga, pengurangan penggunaan dan kos, dan kecekapan penggunaan tenaga dalam proses-proses dan peralatan dapat ditambah baik.
PROTON juga menerangkan pensijilan ini melengkapi pelbagai inisiatif di Tanjung Malim, termasuk penjanaan tenaga solar fotovolta, pendigitalan tenaga dan pemantauan masa nyata, penaiktarafan lampu LED serta pengoptimuman sistem pengeluaran utama.
Syarikat itu pernah memulakan inisiatif tenaga solar pada tahun 2022, melalui tempat parkir berbumbung yang dilengkapi panel solar seluas 23.4 ekar, meliputi 2,880 petak parkir di kilangnya di Tanjung Malim.

