10 cawangan baharu PROTON dan Proton e.MAS dibuka secara rasmi - 4 cawangan PROTON dan 6 cawangan Proton e.MAS dibuka di seluruh negara, menurut siaran dari syarikat itu minggu ini.
Pembukaan cawangan baharu yang merangkumi negeri-negeri Johor, Selangor, Pahang, Terengganu, Kuala Lumpur, Kedah, Perak dan Sarawak ini membawa pelaburan bernilai RM15.9 juta dah mewujudkan 210 pekerjaan baharu.
Ini membawakan jumlah cawangan PROTON kepada 195 cawangan jualan, termasuk 178 pusat 3S dan 4S bersepadu. Bagi Proton e.MAS pula, jenama itu kini mempunyai 58 bilik pameran, 45 pusat servis dan 10 pusat Body & Paint di seluruh negara.
PROTON juga berkata syarikat itu menawarkan pelbagai konsep premis termasuk Sales & Customer Centre, bilik pameran di pusat beli-belah, pusat 3S dan 4S, pusat jenama di kawasan bandar serta pusat mini 3S.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Rashid Musa berkata, “Pembukaan 10 cawangan dalam tempoh hanya 10 hari membuktikan kerjasama erat antara PROTON, Proton e.MAS dan rakan pengedar kami. Pelbagai format cawangan ini membolehkan kami meningkatkan akses pelanggan di kawasan bandar, di samping memperkukuhkan perkhidmatan jualan dan selepas jualan di kawasan serantau.”
Bilik pameran PROTON dan Proton e.MAS dibentuk berdasarkan konsep berbeza bagi kawasan bandar dan luar bandar.
“Kemudahan kepada pelanggan bukan sekadar bergantung kepada lokasi yang dekat, tetapi juga kepada kualiti perkhidmatan yang diterima. Matlamat kami bukan hanya menambah bilangan cawangan, sebaliknya memastikan setiap cawangan mampu memenuhi keperluan pelanggan di kawasan masing-masing serta menawarkan pengalaman yang profesional dan boleh dipercayai”, tambah Datuk Rashid lagi.










