Syarikat automotif nasional Proton cukup sibuk sepanjang minggu ini dengan pelbagai aktiviti dan pengumuman penting.
Satu perkembangan kritikal yang didedahkan baru-baru ini adalah rancangnya untuk melabur sebanyak RM37 juta untuk meningkatkan kapasiti kilang pemasangan Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) di Automotive High-Tech Valley (AHTV), Tanjong Malim.
Pelan pengembangan ini akan dilaksanakan kurang setahun selepas fasiliti itu mula beroperasi. Menerusi pelan baharu itu, kapasiti pengeluaran tahunan akan ditingkatkan ke 42,000 unit setahun untuk memenuhi permintaan pasaran domestik dan eksport. Setakat ini, kapasiti pengeluaran AHTV adalah lebih kurang 20,000 unit setahun.Langkah ini juga didorong sambutan pasaran yang sangat menggalakkan terhadap model EV di Malaysia serta pasaran eksport, tambah Proton lagi. Penting sekali, pengembangan ini juga bakal mengukuhkan kedudukan Tanjong Malim sebagai hab serantau pembuatan NEV dalam ekosistem rakan kongsi Proton iatu Geely Group.
Dari segi tenaga manusia, kilang NEV milik Proton di AHTV kini mempunyai 391 kakitangan. Pelaburan tambahan itu dijangka mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan selain memperkukuh rantaian bekalan EV tempatan.



