Kembali ke laman Tekan Habis
INDUSTRI

PROTON BAKAL HILANG PENGEDAR AFRIKA SELATAN, GEELY MUNGKIN AMBIL ALIH?

13 May 2026
PROTON BAKAL HILANG PENGEDAR AFRIKA SELATAN, GEELY MUNGKIN AMBIL ALIH?

Menurut satu laporan oleh Carz.co.za, Proton bakal kehilangan pengedar rasminya di Afrika Selatan selepas Combined Motor Holdings Group (CMH Group) mengesahkan operasi import dan pengedaran Proton akan ditamatkan sebaik stok semasa habis dijual.

Sebagai imbasan semula, Proton telah kembali ke Afrika Selatan pada September 2022 menerusi kerjasama dengan CMH Group. Model-model yang ditawar dalam pasaran tersebut termasuklah sedan mampu-milik Saga, serta model-model SUV utama seperti X50, X70 dan X90.
Pada awalnya, tahap jualan adalah memberangsangkan – 640 unit terjual dalam separuh kedua 2023, dan naik ke 888 unit menjelang tahun 2024. Prestasi jualan mula merosot tahun lepas (2025) dengan hanya 459 unit pendaftaran, atau lebih kurang 38 unit sebulan.

Kadar ini bertambah teruk apabila jualan suku pertama tahun 2026 merosot sebanyak 87.5% berbanding tempoh sama tahun lalu – ia merosot daripada 160 unit kepada hanya 20 unit sepanjang tiga bulan pertama tahun ini. Tambahan tujuh unit lagi direkodkan pada April 2026.

Susulan itu, laporan yang sama menambah bahawa rakan kongsi Proton iatu Geely sedang berbincang untuk mengambil alih operasi pengedaran Proton di republik tersebut. Buat masa kini, Proton dan Geely masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi tentang ini.

Facebook WhatsApp X
Kembali ke laman Tekan Habis