Kerajaan meluncurkan Program Teksi Madani Nasional, dengan penggunaan Proton S70 berwarna merah dan menggantikan rekabentuk teksi sebelum ini, yang nampak lebih hampir kepada kenderaan persendirian ataupun e-hailing. Program ini dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lepas di Dataran Merdeka.
Turut merasmikan acara ini adalah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Wilayah, Hannah Yeoh. Di dalam ucapannya, Anthony berkata pembelian teksi ini menikmati pengecualian cukai eksais 100%, dan pemilihan Proton S70 ini memberikan perjalanan yang lebih selamat, selesa dan berkualiti bagi pengguna.
Penumpang boleh menahan teksi ataupun menggunakan aplikasi bagi membuat penempahan, dan dilengkapi meter digital khusus bagi mempamerkan maklumat perjalanan serta tambang. Semua teksi Madani boleh dikenalpasti melalui plat nombor khas yang mempunyai tulisan berwarna merah, dengan susun atur yang sama dengan plat hijau yang kini dipamerkan oleh kenderaan elektrik.
Teksi ini kini lebih mirip kepada kenderaan persendirian, dengan papan tanda LED berwarna hijau dipaparkan di dalam cermin hadapan dan belakang bagi penumpang mengenalpasti kenderaan yang menawarkan perkhidmatan. Menteri Pengangkutan juga menerangkan bahawa permit teksi dan juga pemilikan kini secara langsung diberikan kepada pemandu.
Datuk Seri Anwar juga berkata di dalam ucapannya, perkhidmatan teksi kini perlu diberikan secara langsung kepada pemilik teksi secara individu dan langsung, berbeza dengan amalan dahulu dimana permit diberikan kepada syarikat yang lebih kaya yang boleh memperoleh permit yang lebih banyak dah dipajak kepada pemandu teksi.
Dalam satu siaran media dari Proton, syarikat itu menerangkan bahawa dengan insentif yang disediakan oleh Kerajaan dan PROTON, usaha memperbaharui armada (teksi) akan menjadi lebih mudah dan mampu dimiliki oleh pengendali yang layak. Penyertaan dalam program ini adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), termasuk memiliki permit operasi yang sah. Mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut di mana-mana cawangan PROTON di seluruh negara.




