Kembali ke laman Tekan Habis
PRODUK

PROGRAM BYD CERTIFIED RASMI DILANCAR DI MALAYSIA

21 Jul 2026
PROGRAM BYD CERTIFIED RASMI DILANCAR DI MALAYSIA
1 / 12

BYD Sime Motors telah rasmi lancarkan BYD Certified – program kenderaan elektrik (EV) terpakai yang diperakui secara rasmi. Malaysia menjadi pasaran pertama di rantau Asia Pasifik di mana program ini tersedia.

Pusat BYD Certified pertama sudah beroperasi bawah Sime Darby Auto Selection di Glenmarie, Shah Alam. Menurut BYD Sime Motors, langkah ini memudahkan pembeli memiliki EV terpakai, dan meningkatkan keyakinan pengguna lagi membeli EV terpakai.

Berbeza dengan jualan kenderaan terpakai biasa, tawaran BYD Certified telah lalui pemeriksaan profesional 170-titik, disertakan laporan kesihatan bateri sah, perlindungan waranti, serta pilihan pembiayaan serta sokongan selepas jualan.

Pendekatan ini bertujuan memberi pengalaman pemilikan yang lebih telus, selamat dan bernilai untuk jangka panjang.

Termasuk di sini adalah beberapa jaminan yang bermula dengan pemeriksaan menyeluruh 170-titik, dan sejarah kenderaan bersih yang bebas rekod kemalangan, kerosakan banjir dan kebakaran, serta manipulasi odometer. Semua unit yang ditawarkan juga tidak mempunyai batuan melebihi 100,000KM.

Menarik sekali,  semua unit juga dan mematuhi had perbatuan dan usia tertentu. Contoh yang diberi BYD Sime Motors adalah had batuan maksimum 30,000KM bagi unit usia 1 tahun, 60,000KM bagi unit usia 2 tahun, 90,000KM bagi unit umur 3 tahun, dan 100,000KM bag unit usia 4 tahun.

Selain itu, BYD Certified juga menjanji sekiranya kerja baik pulih diperlukan, ia hanya dilakukan mengguna alat ganti tulen BYD yang menepati piawaian dan kelulusan jenama kenderaan tenaga baharu (NEV) tersebut.

Lagi satu tarikan menarik adalah jaminan beli balik dalam tempoh lima hari sekiranya timbul kerosakan struktur, kesan banjir atau kebakaran yang tidak didedahkan semasa pembelian.

BYD Sime Motors turut menawarkan kadar pembiayaan istimewa bermula serendah 2.03 peratus, sekali gus menjadikan pemilikan EV terpakai yang diperakui lebih mudah dan berbaloi untuk pengguna di Malaysia.

Facebook WhatsApp X
Kembali ke laman Tekan Habis