Proton menerusi PRO-NET, terus memperkukuhkan pembangunan ekosistem kenderaan elektrik (EV) tempatan. Baru-baru ini, syarikat tersebut dedah ia telah melabur lebih RM40 juta untuk pembangunan infrastruktur digital dan platform mobiliti bersepadu bagi Proton e.MAS.Langkah ini bukan sekadar bertumpu pada pengeluaran EV semata-mata, malah ia juga merangkumi pembangunan teknologi sambungan digital, sistem pengecasan serta integrasi perkhidmatan rekaan khas yang mengikut keperluan dan gaya hidup pengguna di Malaysia.
Justeru, Proton e.MAS kini menjadi sebahagian daripada platform digital kenderaan pertama yang dibangunkan sendiri di Malaysia yang kini akitf menyokong lebih 300,000 kenderaan – model-model Proton termasuk sekali.
Platform tersebut turut menyokong pelbagai fungsi pintar seperti kawalan kenderaan dari jauh, integrasi pengecasan, sistem infotainmen dan aplikasi khas Proton e.MAS. Pengalaman yang lebih mesra pengguna turut dibangunkan melalui sokongan penuh Bahasa Melayu, fungsi navigasi tempatan, peta pengecasan secara langsung, kompas kiblat, serta aplikasi solat TheNoor.
Pada masa yang sama, PRO-NET juga turut bekerjasama dengan pelbagai syarikat teknologi dan telekomunikasi tempatan seperti TM, Maxis, Celcom, TNG Digital, Maybank, SYOK dan ChargeSini bagi memperkukuh ekosistem digital EV ini. Lebih RM10 juta nilai tahunan dijana kepada ekosistem telco tempatan melalui kerjasama tersebut.
