Setelah dibentang di Dewan Rakyat awal minggu ini oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke, satu undian suara telah luluskan 41 pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), dengan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026.
Selain meningkatkan kadar kompaun maksimum bagi beberapa kesalahan bermula pada 1 Januari 2029, sebuah seksyen baru juga diperkenalkan, iaitu Seksyen 42A, yang menjadikan perlumbaan haram di jalanan sebagai satu jenayah.
Seksyen 42A bukan sahaja terpakai kepada motosikal tetapi kepada semua kenderaan bermotor yang terlibat dalam perlumbaan haram, termasuk kereta biasa, kenderaan mewah dan kereta berprestasi tinggi.
“Tujuan utama Seksyen 42A adalah untuk membolehkan tindakan penguatkuasaan awal terhadap aktiviti perlumbaan atau ujian kelajuan di jalan awam. Pindaan ini menutup kelemahan dalam undang-undang sedia ada,” kata Loke lagi.
Bawah Seksyen 42A baru ini, perlumbaan atau ujian kelajuan yang melibatkan dua atau lebih kenderaan bermotor di jalan awam akan menjadi kesalahan khusus. Ini juga membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil terhadap pesalah tanpa perlu menunggu kemalangan, kecederaan atau kematian berlaku.
Pada masa yang sama, Loke juga kata kerajaan bersetuju masalah perlumbaan haram tidak boleh ditangani melalui hukuman sahaja, dan golongan muda yang berminat dalam sukan permotoran harus diberikan alternatif yang sah dan lebih selamat.
Dengan itu, Loke tambah kementeriannya terbuka untuk bekerjasama dengan kementerian lain, kerajaan negeri, majlis tempatan dan sektor swasta untuk meneroka pembangunan trek perlumbaan komuniti, tempat sementara dan program pembangunan bakat.



