Kembali ke laman Tekan Habis
INDUSTRI

Penggunaan EV Bakal Meningkat pada Separuh Kedua 2026 - HLIB

12 Jul 2026
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Penggunaan kenderaan elektrik (EV) bakal meningkat pada separuh kedua 2026, disokong oleh model EV yang lebih mampu milik dan pengembangan infrastruktur pengecasan, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB) dalam satu nota penyelidikan.

Jualan EV di antara Januari dan Mei tahun ini telah mencapai 25,500 unit, meningkatkan saham pasaran kepada 8.1 peratus, berbanding 3.8 peratus pada tahun 2025.

Ia juga berkata pasaran EV bakal dibentuk semula susulan kemaskini dasar EV CBU (Completely Built-Up) yang diumumkan MITI, berkuatkuasa 1 Julai 2026, yang mengehadkan EV yang diimport dengan kos, insurans dan pengangkutan (CIF) minima RM200,000 dan kuasa minimum bagi motor sebanyak 180 kilowatt.

Menurut nota itu juga, walaupun ketersediaan EV CBU mampu milik berkurang, pengeluar masih lagi boleh membuat lokalisasi pengeluaran melalui pemasangan CKD (Completely Knocked Down). Secara umumnya, dasar tersebut dijangka memberi manfaat kepada pengeluar nasional, terutamanya Proton dan Perodua. 

HLIB juga berkata jumlah keseluruhan industri (TIV) pada 2026 diunjurkan kekal bertahan pada 780,000 unit, dengan pelancaran model baharu, kadar faedah yang mudah diperoleh serta kempen jualan yang berpanjangan.

Persaingan di antara pengeluar juga bakal meningkat melalui kemasukan pengeluar dari China melalui harga produk yang kompetitif, meletakkan tekanan kepada pengeluar dari Jepun, Korea dan Eropah. 

"Jenama nasional dijangka terus mengekalkan dominasi di dalam pasaran, didokong oleh barisan model mampu milik dan rangkaian pengedar yang luas" 

-- Bernama

Facebook WhatsApp X
Kembali ke laman Tekan Habis