Volvo Car Malaysia (VCM) baru-baru ini telah umumkan bahawa aksesori pengecas rumah pintar terbarunya, iaitu Volvo Wallbox, kini tersedia untuk pasaran Malaysia.
Direka khas untuk pemilik kenderaan elektrik bateri (BEV) dan plug-in hybrid (PHEV) Volvo, unit pengecas ini dibangun Volvo Cars dengan rekaan minimalis, serta pelbagai ciri yang memberi pengalaman pemilikan lebih mudah dan praktikal kepada pengguna.
Pada asasnya, Volvo Wallbox ini menyokong pengecasan AC 11 kW bagi kediaman yang mengguna bekalan elektrik tiga fasa (three-phase). Dipakej sekali juga adalah kabel pengecas Type 2, manakala penarafan IP55 memastikan ketahanan ketika digunakan di dalam atau luar rumah.
Tersedia dengan sambungan Wi-Fi, Ethernet atau kad SIM, ini memboleh pengguna memantau status pengecasan, memulakan atau menghentikan sesi pengecasan, serta menyemak sejarah penggunaan dan menetapkan jadual pengecasan bagi mengoptimumkan penggunaan tenaga.
Turut dilengkapi juga adalah dua kad RFID untuk menghadkan akses pengecas ini kepada pengguna tertentu - sesuai untuk kediaman yang mempunyai lebih daripada seorang pemandu atau situasi penggunaan ruang parkir yang dikongsi.
Menarik lagi, pengecas ini juga disediakan untuk menyokong sambungan kepada meter tenaga luaran pada masa hadapan. Ini membolehkan unit pengecas ini mengguna lebihan tenaga daripada sistem solar di rumah.
Volvo Wallbox kini ditawarkan melalui semua pusat jualan Volvo di Malaysia pada harga RM3,990 dan disertakan jaminan perkakasan selama 36 bulan.
Bagi khidmat pemasangan pula, VCM telah bekerjasama dengan EV Connection Sdn. Bhd. dan kosnya bermula dari RM1,600 bergantung pada keadaan lokasi dan keperluan pelanggan.


