Jika sebelum ini tahap keselamatan kereta dinilai dengan ASEAN NCAP, kini Malaysia sekali lagi menjadi peneraju keselamatan bagi motosikal pula, melalui Program Penilaian Motosikal ASEAN (ASEAN Motorcycle Assessment Program) atau ASEAN MAP yang dilancarkan hari ini oleh Kementerian Pengangkutan melalui Institut Penyelidikan Keselamatan Jalanraya Malaysia (MIROS).
ASEAN MAP telah mendapat komitmen daripada 4 negara ASEAN - Malaysia, Indonesia, Thailand dan Vietnam, bagi menilai tahap keselamatan motosikal berdasarkan set data, kepakaran teknikal dan pengalaman daripada negara masing-masing.
Anda mungkin bertanya, mengapa fokus kepada 4 negara ini? Ini kerana motosikal menjadi sebahagian besar landskap pengangkutan di negara-negara ini, dan mempunyai angka kematian melibatkan motosikal yang paling tinggi. Menurut MIROS, program ini akan dikembangkan ke negara-negara ASEAN lain selepas fasa pertama yang dijangka bermula pada tahun 2027.
Apakah yang dinilai oleh ASEAN MAP? Sepanjang Fasa 1 dari tahun 2027 hingga 2028, penilaian asas yang merangkumi pematuhan kepada standard (UNECE), ciri-ciri motosikal yang mendorong tunggangan selamat, ciri-ciri motosikal dalam mengelak daripada kemalangan (seperti ABS) dan juga sokongan keselamatan daripada pengeluar (contohnya, latihan keselamatan tunggangan).
ASEAN MAP ini disokong oleh United Nations Road Safety Fund (UNRSF), dan juga United Nations Economic and Social Commission for Asia and the Pacific (UNESCAP) sebagai rakan kongsi projek. Program ini juga mendapat kerjasama daripada Global Road Safety Facility of the World Bank, Autoliv dan TotalEnergies.
Majlis pelancaran hari ini disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah.




