Dua platform senarai jualan atas talian popular tempatan, iaitu Mudah.my dan Carousell, telah mengumumkan satu kerjasama baharu khas untuk pengiklanan jualan kereta terpakai.
Walaupun beroperasi sebagai platform berasingan yang memenuhi segmen pasaran berbeza, kedua-dua entiti ini telah menjadi sebahagian daripada kumpulan sama sejak tujuh tahun lalu.
Melalui kerjasama ini, satu integrasi baharu oleh Mudah.my dengan Carousell Malaysia kini membolehkan inventori kereta daripada platform berkenaan turut dipaparkan di Carousell. Langkah ini membuka dan meluaskan akses kepada kumpulan pembeli lebih besar untuk pengedar kereta terpakai.
Dengan integrasi antara Mudah.my Auto dan Carousell Malaysia itu, kenderaan yang layak dan telah disenaraikan di Mudah.my akan dipaparkan secara automatik di Carousell tanpa memerlukan pengedar memuat naik atau mengurus iklan sama di dua platform berasingan – secara ringkas: satu iklan, dua platform.
Menurut Mudah.my, platform tersebut menjangka sehingga 35,000 kereta terpakai akan tersedia untuk dicari melalui Carousell Malaysia menjelang akhir September 2026. Mudah.my juga tambah bahawa secara keseluruhan, terdapat hampir enam juta pengguna Mudah.my dan Carousell.
Dalam siaran akhbar rasminya, ketua pegawai eksekutif Mudah.my Jacky Tan Nguyen berkata integrasi ini menggabungkan kekuatan dua platform utama dalam kumpulan sama untuk memberikan nilai lebih besar kepada pembeli dan pengedar.
Tan juga tambah niat Mudah.my memperluaskan pilihan kepada pengguna Carousell melalui pasaran kereta terpakainya adalah selari dengan misi Carousell Group untuk menjadikan barangan terpakai sebagai pilihan pertama pengguna.
Dalam perkembangan sama, Mudah.my turut dedah penambahbaikan beberapa ciri pasaran automotifnya dengan penggunaan teknologi kecerdasan buatan – Artificial Intelligence (AI).
Antaranya ialah Mudah Intelligence AI Highlights, dan ia berfungsi untuk membolehkan pengguna melihat ciri jualan utama sesebuah kereta dengan lebih pantas. Ciri Car Price Insights pula kini membantu pembeli menilai sama ada harga yang ditawarkan bagi sesebuah kenderaan berada pada tahap berpatutan.
Selain itu, Mudah,my juga berkata sistem pencarian dan penyenaraiannya telah direka semula untuk memudahkan pengguna menapis, membanding dan menyenarai pendek kenderaan daripada pilihan inventori yang lebih besar.


