Kembali ke laman Tekan Habis
PRODUK

MODENAS PERKENALKAN 2026 KYMCO XCITING VS 400 – DARI RM27,888

17 Aug 2026
MODENAS PERKENALKAN 2026 KYMCO XCITING VS 400 – DARI RM27,888
1 / 32

Segman maxi-scooter premium dalam pasaran dua-roda tempatan terus berkembang lagi. Baru-baru ini, Modenas, selaku pengimport dan pengedar rasmi jenama Kymco, telah rasmi perkenalkan sebuah model baharu iaitu Xciting VS 400.

Diposisikan di antara model DTX250 dan AK550 Premium, model Xciting VS 400 ini tampil sebagai sebuah tawaran maxi-scooter dengan kebolehan perjalanan jauh (touring) yang lengkap dengan pelbagai ciri-ciri premium yang meningkatkan praktikaliti dan keselesaan.

Bermula dengan spesifikasi mekanikal, Xciting VS 400 ini digerakkan oleh enjin satu-silinder 400cc SOHC yang dilengkapi empat injap dan penyejukkan cecair menjana 33HP dan 37.4Nm untuk memacu roda belakangnya melalui padanan transmisi CVT automatik.

Tipikal bagi mana mana maxi-scooter saiz ini, kelengkapan utama bagi casis merangkumi setup brek cakera depan belakang dengan sistem ABS dwi-saluran, sistem kawalan cengkaman (traction control system – TCS), serta penyerap hentak kembar belakang boleh laras.

Beralih ke ciri-ciri premium dan model Xciting VS 400 ini tampil dengan penghadang angin boleh laras lima-tahap, pencahayaan dan fungsi DRL LED penuh, serta paparan meter digital LCD besar yang dikongsi bersama model DTX250.

Ciri-ciri lain yang dilengkapi juga termasuk ruang simpanan glovebox dengan fungsi auto-lock, sistem kunci pintar, tempat duduk bertingkat, ruang simpanan bawah tempat duduk seluas 29-liter, tangki bahan api 12.5-liter, serta rim bersaiz 15-inci (hadapan) dan 14-inci (belakang).

Hanya dua pilihan warna jenis habisan matte tersedia bagi Kymco Xciting VS 400 baharu ini, iaitu Flat Black dan Cerulean Blue.

Dituju khas pada penunggang yang memegang lesen kelas B penuh (B-full), maxi-scooter terbaru dari jenama Kymco ini sudah tersedia melalui pengedar sah dengan tanda harga asas RM27,888 tanpa insurans dan kos pendaftaran.

Termasuk sekali dalam harga tersebut adalah jaminan waranti selama 2-tahun atau 20,000KM.

Facebook WhatsApp X
Kembali ke laman Tekan Habis