Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Sim Tze Tzin, telah umumkan sasaran pembangunan teknologi kenderaan autonomi Tahap 3 (Level 3 Autonomous Vehicles) di Malaysia menjelang 2030.
Kenderaan yang dilengkapi atau dibina untuk mengguna teknologi tersebut sudah pun wujud. Salah satu contoh kami sempat tinjau semasa di China baru baru ini termasuk Exeed ES7 GT dari kumpulan Chery yang digambarkan.
Beliau berkata, Malaysia ketika ini masih berada pada peringkat awal dalam pembangunan teknologi pemanduan autonomi dan perbincangan mengenai hala tuju industri itu perlu dipercepatkan. "Ini bukan sekadar industri automotif tetapi membabitkan keseluruhan negara dan kita perlu mula bersedia dari sekarang," katanya lagi.
"Terdapat lima tahap autonomi dan Malaysia masih di peringkat permulaan. Sebab itu kita mahu industri mula melihat ke arah ini kerana pembangunan kenderaan autonomi membabitkan perubahan besar," katanya ketika pelancaran Persidangan Automotif dan Mobiliti ASEAN ke-2 minggu ini.
Sim turut mengulas lanjut bahawa pembangunan teknologi berkenaan tidak hanya tertumpu kepada pengeluaran kenderaan semata-mata, tetapi turut membabitkan pembangunan cip, sensor, sistem perisian serta peningkatan kemahiran vendor tempatan.
Beliau juga tambah pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pengurusan infrastruktur jalan raya juga perlu bersedia termasuk menaik taraf papan tanda dan kemudahan jalan lain bagi menyokong penggunaan teknologi itu.
Sumber: Berita Harian


