Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) melaksanakan projek pembuktian konsep Had Laju Nasihat Minimum di beberapa lokasi rintis di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), mulai 1 Ogos 2026.
Dalam kenyataan oleh MIROS semalam, had laju minimum yang disarankan bagi setiap lorong dipaparkan di lebuhraya sebagai saranan kepada pemandu memilih lorong yang bersesuaian dengan kelajuan kenderaan masing-masing.
Pelaksanaan bertujuan menangani isu memonopoli lorong (lane hogging), khususnya kenderaan yang bergerak perlahan di lorong kanan dan mengganggu kelancaran aliran trafik.
MIROS juga menyatakan tabiat memonopoli lorong mencetuskan kesesakan dan mendorong pemandu lain melakukan pertukaran lorong atau memotong secara berbahaya, yang juga boleh meningkatkan konflik antara kenderaan dan risiko kemalangan.
Pembuktian konsep ini akan dilaksanakan di lokasi berikut, dan dijadualkan berlangsung selama 3 bulan:
- Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) E1: KM400.1 hingga KM388.0, arah utara, Tanjung Malim–Behrang;
- Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) E26: KM9.6 hingga KM16.7, Plaza Tol Ayer Hitam–Bandar Saujana Putra; dan
- Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) E2: KM267.8 hingga KM278.8, arah utara, Bandar Ainsdale–Nilai.
Inisiatif ini merupakan kerjasama MIROS bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), PLUS Malaysia Berhad dan Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE)
Kenyataan itu juga menjelaskan bahawa sepanjang tempoh POC, had laju minimum tersebut merupakan panduan kepada pemandu dan bukannya suatu ketetapan mandatori atau tindakan penguatkuasaan.
Pemandu tidak perlu mengekalkan had laju minimum yang dinasihatkan sekiranya keadaan jalan raya atau trafik tidak selamat atau tidak mengizinkan, termasuk kesesakan, cuaca buruk, jarak penglihatan terhad, kemalangan dan sebagainya.
Laman web MIROS juga menerangkan bahawa kenderaan yang kekal di lorong kanan tanpa memotong boleh menjadi satu kesalahan di bawah Kaedah-kaedah Lalu Lintas 1959.




